Pecco perlu selesaikan masalah sendiri

Pecco perlu selesaikan masalah sendiri

Rom: Davide Tardozzi dari Ducati memberi amaran bahawa Francesco Bagnaia perlu “menguruskan masalah” yang sedang menjejaskan prestasinya musim ini.

Pelumba pasukan pengeluar Ducati itu dilihat ketinggalan di belakang rakan sepasukan, Marc Marquez sepanjang musim ini, malah sering berada di belakang pelumba Gresini, Alex Marquez juga.

Bagnaia berjaya meraih kemenangan di MotoGP Americas selepas Marc Marquez terjatuh ketika sedang mendahului, tetapi gagal memanfaatkan peluang di Qatar, meskipun litar itu dikatakan sesuai dengan gaya tunggangannya.

Di Qatar, Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Marquez dan Maverick Viñales, namun dinaikkan ke tempat kedua selepas Vinales didenda kerana tekanan tayar tidak mematuhi peraturan.

Keputusan itu dianggap satu pencapaian yang baik memandangkan dia hanya bermula di tempat ke-11 pada sesi kelayakan dan menamatkan perlumbaan pecut di tempat kelapan.

Apabila ditanya oleh TNT Sports sama ada isu Bagnaia pada Sabtu lalu adalah berpunca daripada masalah jentera atau masalah dirinya sendiri, Tardozzi yang pengurus pasukan Ducati menjawab: “Ia adalah sesuatu yang berkait dengan kami, iaitu untuk sentiasa memberikan jentera yang terbaik kepadanya.

“Pecco kini sangat cerewet dalam aspek pelarasan. Dia bukan jenis pelumba yang mahu menunggang motosikal yang tidak benar-benar menepati gaya tunggangannya.

“Ini mencetuskan masalah kepada pasukannya. Namun akhirnya, mereka menemui penyelesaian, terutamanya untuk perlumbaan hari Ahad.

“Tapi Pecco perlu sedar bahawa dia adalah seorang juara, dan dia perlu uruskan masalah itu.

Satu perkara yang kami perlu bantu dia baiki: jangan terlalu fikirkan masalah, sebaliknya uruskan masalah itu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top