Pearly (kiri) dan Thinaah mara ke separuh akhir Indonesia Masters setelah menewaskan pasangan Jepun pada Jumaat. Foto Agensi
BEREGU wanita negara, Pearly Tan – M Thinaah meneruskan momentum positif apabila mara ke saingan separuh akhir Indonesia Masters di Jakarta sebentar tadi.
Kejayaan tersebut hadir selepas pasangan nombor tujuh dunia itu menumpaskan juara Terbuka Malaysia 2025 dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam saingan suku akhir.
Pasangan negara yang tersekat pada pusingan pertama di Terbuka Malaysia awal bulan ini bermula baik pada set pertama apabila menang 21-16.
Pearly – Thinaah kemudian tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengesahkan kemenangan 21-15 dalam masa 48 minit permainan di Istora Senayan itu.
Sebagai rekod, ini adalah pertemuan ulangan di peringkat suku akhir Terbuka India minggu lalu yang menyaksikan Pearly-Thinaah muncul pemenang.
Menanti Pearly – Thinaah dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ialah pemenang antara wakil Korea Selatan, Lee Yeon-woo dan Lee Yu-lim atau Chang Ching Hui-Yang Ching Tun dari Taiwan.