PDRM tambah duka Negeri Sembilan

PDRM tambah duka Negeri Sembilan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk meraih kemenangan kedua musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Selepas melalui tujuh perlawanan, skuad Hobin Jang Hobin sekadar merakamkan satu kemenangan ke atas Sri Pahang FC, di Temerloh, bulan lalu.

Meskipun dapat menurunkan barisan terbaik, namun tidak banyak peningkatan prestasi yang dapat dipamerkan skuad bimbingan Azzmi Ab Aziz ini.

Mereka mula mendapat peluang menjaringkan gol pada minit pertama, namun tandukan Jacque Faye yang menerima bola lorongan Aroon Kumar di hadapan pintu gol gagal menewaskan penjaga gol PDRM, Nor Hakem Hamidun.

Pasukan PDRM yang mula mendapat rentak menyukarkan jentera serangan Negeri Sembilan untuk bertindak cemerlang di hadapan gawang.

Jentera serangan pasukan Sang Saka Biru yang diketuai pemain lincah, Ifedayo Olusegun sesekali mencemaskan gawang tuan rumah.

Malah, Ifedayo hampir meledak gol pertama PDRM namun percubaannya dari dalam kotak penalti pada minit ke-19 terkena tiang.

Bagaimanapun kesilapan kapten PDRM,Faith Friday Obilor yang mengeluarkan bola tidak jauh dari kawasan gol, disambar dengan baik oleh R Barathkumar dan pemain tengah itu tidak mensesia-sesiakan peluang untuk meledak gol pertama tuan rumah pada minit ke-44, sekali gus menamatkan separuh masa pertama memihak kepada Negeri Sembilan.

Bersambung babak kedua, kekuatan PDRM mula terserlah apabila Mohd Shahrel Fikri Md Fauzi bertindak bijak dengan memanfaatkan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-53.

Anak buah P Maniam terus melebarkan penguasaan mereka menerusi gol kedua yang dijaringkan Bruno Suzuki selepas dia berjaya menolak masuk bola lorongan dari tepi Fadi Mahmood Awad Salleh pada minit ke-57.

Usaha Negeri Sembilan untuk mendapatkan gol tambahan atau sekurang-kurangnya mengikat PDRM dengan berkongsi mata ternyata gagal apabila tiada percubaan tepat ke gawang lawan dilakukan barisan depan pasukan itu sehingga ke wisel penamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top