SKUAD bola sepak PDRM FC sudah melakukan persiapan rapi dalam usaha untuk melakar kebangkitan dalam perlawanan akhir kedua menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Penolong Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil berkata, kelemahan yang menyaksikan mereka tewas pada perlawanan akhir pertama telah dikenal pasti dan sudah merencana perancangan dalam tempoh seminggu ini untuk cuba memerangkap skuad Gergasi Merah.
“Kalau kita tengok keseluruhan perlawanan akhir pertama, Selangor bermain dengan 10 pemain tetapi kita faham, pasukan Selangor mempunyai skuad yang besar dengan himpunan pemain yang berkualiti.
“Pada pendapat saya, malam itu (perlawanan akhir pertama) kita tidak dapat menjaringkan gol. Itu satu kelemahan pasukan kita dalam tempoh tersebut.
“Dalam tempoh seminggu ini kita dah cuba perbaiki kelemahan dan buat sedikit perubahan untuk perlawanan akhir kedua. Harapnya apa yang kita rancang akan berhasil,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Jumaat.
Pada perlawanan akhir pertama Sabtu lalu, PDRM tewas 2-3 kepada Selangor FC yang menyaksikan pasukan Sang Saka Biru itu gagal memanfaatkan peluang untuk melakar kemenangan biarpun lawan beraksi dengan 10 pemain.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penyerang import mereka, Ifedayo Olusegun tidak pasti akan dapat diturunkan atau tidak dalam perlawanan tersebut.
“Ada beberapa kecederaan pemain, namun ia tidak mengganggu keseluruhan persiapan kita. Sehingga hari ni kita masih memantau tahap kecergasan Ifedayo dan kita akan lihat situasi dia sama ada boleh bermain atau tidak,” katanya.