PDRM jadi mangsa amukan Sri Pahang

PDRM jadi mangsa amukan Sri Pahang

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Sri Pahang FC berada pada prestasi terbaik selepas membelasah PDRM FC 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Kejayaan itu juga adalah kemenangan kedua buat skuad Tok Gajah musim ini untuk memastikan tiga mata selepas kali terakhir beroleh kemenangan ketika menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 1-0 pada 11 Mei lalu.

Namun, pada perlawanan itu, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-16 untuk membolosi gawang lawan hasil jaringan penyerang import, Kpah Sherman.

Selepas itu, skuad kendalian Fandi Ahmad terus beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol kedua menerusi Stefano Brundo pada minit ke-25 dan selang seminit, Manuel Hidalgo memastikan tuan rumah selesa dengan kedudukan 3-0.

Keadaan itu menyaksikan pengendali PDRM, P Maniam mengeluarkan penjaga gol Nor Hakeem Hamidun dan menggantikannya dengan See Tian Keat.

Brundo menjaringkan gol keempat buat Sri Pahang yang juga kedua peribadi pada perlawanan itu minit ke-32 dan keputusan 4-0 kekal pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kelima apabila Sherman berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Tian Keat ketika perlawanan baharu seminit bersambung.

Pada minit ke-72, PDRM akhirnya berjaya membolosi gawang tuan rumah hasil daripada tandukan penyerang import mereka, Bruno Suzuki yang menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd