PDRM FC belasah KDN FC, lonjak ke tangga kelima liga

PDRM FC belasah KDN FC, lonjak ke tangga kelima liga

ferzalfie@hmetro.com.my

Selayang: PDRM FC melonjak ke kelompok lima terbaik Liga Super selepas membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC, 5-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.

Kemenangan itu memberi tonik berharga buat pasukan bimbingan P Maniam yang akan beraksi di suku akhir kedua Piala Cabaran berdepan Melaka FC, Sabtu ini.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Ifedayo Olusegun menjaringkan gol pada minit kelima tatkala semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dia bebas ofsaid.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, KDN FC menggandakan asakan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Bagaimanapun, percubaan Umier Aznan terkena palang selepas menyambut baik sepakan percuma Irwan Syazmin.

Tujuh minit kemudian KDN FC menyangkakan mereka berjaya menyamakan kedudukan, namun jaringan Umier yang berpunca daripada sepakan percuma ketua pasukan, Oday Kharoub dikesan ofsaid selepas semakan VAR.

Pada minit ke-32 Ifedayo menjaringkan gol kedua PDRM selepas mudah menanduk masuk sepakan penjuru Fakhrul Azim dan dia meledak hatrik lapan kemudian apabila merembat masuk dari dalam petak penalti.

Detik menggembirakan pemain kelahiran Nigeria itu bertukar menjadi mimpi ngeri selepas diperintah keluar padang pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas didapati memijak pertahanan lawan di dalam petak penalti KDN FC.

Bermain dengan 10 pemain tanpa kehadiran Ifedayo langsung tidak melemahkan The Cops apabila menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua.

Gol keempat disempurnakan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-66 selepas pertahanan KDN FC gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan dia mencetak jaringan kedua dalam situasi hampir sama lima minit kemudian.

PDRM mengumpul 21 mata selepas 16 perlawanan, manakala KDN FC terus kekal di kedudukan kedua tercorot liga dengan hanya memungut tujuh mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top