PDRM, AGC digesa heret semula dalang penipuan RM47 juta

PDRM, AGC digesa heret semula dalang penipuan RM47 juta

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa mengheret semula dalang kes pelaburan ala pinjaman membabitkan sebuah syarikat ke muka pengadilan.

Gesaan itu dibuat oleh 87 mangsa penipuan berkenaan yang mendakwa, dalang kes tersebut dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) kerana ada pengadu menarik laporan.

Mereka mendakwa, pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah pada 2021, namun malangnya kedua-dua mereka dibebaskan selepas melakukan urusan penyelesaian.

“Penyelesaian di sebalik tabir dengan beberapa mangsa itu telah menyebabkan pertuduhan itu tidak diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar memandangkan kesemua mangsa telah mengalami kerugian lebih RM47 juta.

Katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat kerana terdapat ribuan mangsa lagi yang belum tampil membuat aduan rasmi kepada pihaknya mahupun PDRM.

Beliau berkata, jumlah RM47,305,198 bukanlah amaun yang kecil dan tidak sepatutnya kedua-dua dalang dikenakan DNAA kerana ia sesuatu yang tidak adil kepada mangsa.

“Walaupun ada 22 laporan yang telah dibuka siasatannya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tetapi ada juga laporan telah dirujuk kepada kes terdahulu yang telah DNAA.

“Jadi kita minta pihak PDRM supaya tidak merujuk laporan yang kita buat ini kepada kes yang telah DNAA. Kita mahu laporan kita ini diserahkan kepada AGC dan mahu dalang ini didakwa semula di mahkamah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini. – UTUSAN

Scroll to Top