Paul Yong kekal sabitan, Mahkamah Tinggi tolak keterangan tambahan

Paul Yong kekal sabitan, Mahkamah Tinggi tolak keterangan tambahan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak keterangan tambahan dikemukakan pihak pembelaan dalam rayuan sabitan kes rogol bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong terhadap pembantu rumahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati keterangan yang dikemukakan pembelaan adalah bersifat ‘dengar cakap’ dan tidak wajar diterima dengan maksud diberikan pertimbangan.

“Dalam keadaan ini mahkamah ini mengekalkan keputusan terdahulu bahawa tiada keraguan munasabah yang berjaya ditimbulkan oleh pembelaan dan dengan itu sabitan patut dikekalkan,” kata Abdul Wahab.

Abdul Wahab berkata, bukti tambahan berbentuk penyataan bertulis didakwa dibuat atas arahan serta ditandatangani oleh mangsa berusia 24 tahun itu, menimbulkan keraguan antaranya dari sudut bentuk sekali gus keaslian tandatangan mangsa.

Mahkamah turut melihat beberapa perkara lain antaranya penyataan itu yang dilihat bercanggah dengan keterangan awal yang diberikan mangsa sewaktu kes itu dibicarakan peringkat awal.

“Mangsa ketika itu menafikan dia membuat laporan dirogol antaranya kerana mahu pulang ke Indonesia sebelum kontrak kerja sebagai pembantu rumah kepada tertuduh tamat namun penyataan bertulis itu menyatakan sebaliknya.

“Selain itu, Mahkamah berpandangan alasan pihak pembelaan bahawa mangsa sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah kerana faktor perbelanjaan dan mengalami kesukaran untuk dibawa dari Sumbawa, Indonesia adalah tidak boleh diterima pakai serta tidak munasabah.

“Mahkamah berpandangan timbul keraguan apabila keterangan tambahan itu berlawanan dengan keterangan asal dan dalam keadaan ini adalah tidak selamat untuk mahkamah menerima keterangan tambahan terbabit.

“Dalam keadaan tiada usaha bersungguh-sungguh (untuk membawa mangsa menghadiri perbicaraan di Malaysia) dengan alasan seperti takut ditangkap, tidak boleh diterima maka tidak boleh dibuat sebarang kesimpulan.

“Oleh demikian, mahkamah ini mendapati keterangan tambahan itu adalah keterangan dengar cakap dan pada masa sama tidak digariskan di bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950,” kata Abdul Wahab.

Pada prosiding yang berlangsung hampir sejam hari ini, pasukan pembelaan diwakili Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir manakala pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah.

Pada 12 November lalu, media melaporkan Mahkamah Persekutuan pada hari sama membenarkan permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terhadap sabitan itu.

Mahkamah Tinggi Ipoh diarahkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk menerima dan mengesahkan dokumen dan bukti tambahan termasuk keterangan daripada saksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top