Pau Marti boleh tidur lena selepas atasi Filipina

Pau Marti boleh tidur lena selepas atasi Filipina

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akui lega apabila berjaya membawa pasukannya melakar kemenangan 2-1 ke atas Filipina yang menampilkan tentang sengit sepanjang 90 minit aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Jelas jurulatih dari Sepanyol itu, bukan mudah sebenarnya untuk menundukkan lawan yang menggunakan sebaiknya kelebihan fizikal ke atas pasukan negara.

“Saya fikir ia aksi yang sukar namun kami sememangnya layak meraih keputusan ini (menang).

“10 minit terakhir kami dilihat goyah sedikit…berdepan lawan yang kuat, dengan kekuatan fizikal yang kuat, menunjukkan bukan mudah untuk mendapatkan kemenangan.

“Saya fikir kami perlu lebih positif di mana kami sudah melangkah ke final, dan kami akan meraikannya malam ini,” katanya pada sidang media perlawanan Pestabola Merdeka malam tadi

Kemenangan tipis ke atas skuad The Azkals itu membolehkan Malaysia berada pada landasan terbaik dan hanya tinggal selangkah untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka.

Dua gol tuan rumah diraih menerusi rembatan leret Syamer Kutty Abba dan sepakan penalti Safawi Rasid di setiap babak.

Gol saguhati pelawat pula disumbangkan hasil jaringan sendiri Feroz Baharudin yang tertampan bola ke gawang sendiri di awal permainan.

Selepas ini, skuad negara dijadual menentang Lubnan di final pada Ahad ini.

Lubnan mara selepas berjaya mengenepikan juara bertahan, Tajikistan 1-0 dalam satu lagi aksi yang berlangsung di sebelah petang hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd