Pasukan pelarian Olimpik tetap bangga, buru pingat Paris 2024

Pasukan pelarian Olimpik tetap bangga, buru pingat Paris 2024

Paris: Anggota pasukan pelarian Olimpik akan memastikan suara mereka didengari dunia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia bakal meningkatkan kesedaran mengenai jutaan orang terbuang, tetapi mereka memiliki cita-cita sama iaitu memburu pingat Olimpik, kata pembawa bendera pasukan itu, hari ini.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumpul pasukan pelarian terbesar iaitu 37 atlet yang akan bersaing di Paris 2024, bermula Jumaat ini.

Atlet dari negara seperti Syria, Sudan, Cameroon, Ethiopia, Iran and Afghanistan akan bertanding dalam 12 acara di Paris 2024, iaitu kali ketiga pasukan seumpama itu ditubuhkan di temasya Olimpik musim panas.

“Sebaik saja nama ‘pasukan pelarian Olimpik’ dipanggil, semua pelarian di seluruh dia akan bersama kami,” kata petinju kelahiran Cameroon, Cindy Ngamba yang kini berpangkalan di Britain, kepada Reuters.

“Kami dilihat sebagai satu pasukan, atlet, pejuang dan atlet yang kelaparan bersaing sebagai satu keluarga.

“Kami tidak takut, tidak malu, sebaliknya bangga menjadi pelarian. Kami tahu tidak bersama mereka, tetapi dapat merasakan tenaganya.”

IOC memperkenalkan pasukan pelarian pertama di temasya Rio 2016 membabitkan 10 atlet untuk meningkatkan kesedaran mengenai ratusan ribu pelarian dari Timur Tengah membanjiri Eropah dan di mana saja untuk lari daripada konflik serta belenggu kemiskinan.

Pasukan pelarian yang bertanding di Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada 2021 kerana penangguhan akibat pandemik Covid-19 pula tiga kali ganda besar iaitu membabitkan 29 atlet.

Pasukan di Paris 2024 bukan saja paling besar, malah sudah memiliki lambang sendiri.

“Ia 100 peratus penting,” kata Ngamba mengulas mengenai lambang itu.

“Penubuhannya mengenai pasukan, keluarga. Menjadi sebahagian daripada keluarga unik ini adalah segala-galanya.

“Sebelum ini, kami bertanding secara individu antara dua atau tiga orang. Kini kami dalam kumpulan besar, keluarga yang mewakili pasukan pelarian. Kami mampu mengangkat kepala dan bangga menjadi anggota pasukan ini.”

Seorang lagi pembawa bendera adalah Yahya Al Ghotany, atlet taekwondo yang terpaksa meninggalkan Syria akibat peperangan.

Al Ghotany menyertai sukan itu ketika menjadi pelarian di kem di Jordan.

© New Straits Times Press (M) Bhd