bhsukan@bh.com.my
ALOR SETAR: Bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah mengesahkan kini dalam perhatian sebuah pasukan di utara Semenanjung untuk dilantik ke jawatan sebagai pengarah teknikal.
“Saya sudah diminta untuk menghantar resume kepada kelab berkenaan dan jika ada rezeki dan diterima, InsyaAllah saya akan kembali ke dalam arena bola sepak. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi.
“Namun biarlah kelab berkenaan menilai dan menghargai pengalaman serta rekod saya capai sebelum ini dan setimpal dengan apa yang mereka rancangkan. Jika dipanggil, saya anggap itu rezeki.
“Di usia begini, saya lebih cenderung untuk menabur bakti dari sudut pembangunan secara keseluruhan berbanding kejurulatihan yang perlu ada sijil profesional seperti dikehendaki oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.
Azraai yang memiliki pengalaman luas dalam kancah pembentukan kejayaan gemilang skuad Hijau Kuning sejak era bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil itu bagaimanapun mengakui hasrat sebenar beliau pada asalnya lebih terarah dan mahu dicurahkan kepada negeri kelahirannya iaitu Kedah Darul Aman FC.
“Memang saya tahu ramai penyokong yang mahu saya kembali kepangkuan pasukan Kedah untuk membangunkan lagi tahap pembangunan bola sepak di Kedah, namun biarlah pihak pengurusan Kedah sendiri yang membuka peluang berkenaan terlebih dahulu.
“Saya tidak pasti dengan perancangan terkini di Kedah, tetapi apa yang penting, saya sentiasa menjadikan ilmu semasa saya menggalas tugas ketua jurulatih Kedah pada zaman kegemilangan ‘double trebel’ dibawah pengurusan Allahyarham Datuk Ahmad Basri sebagai panduan untuk memajukan tahap bola sepak tempatan,” katanya.
Azraai memulakan langkahnya dalam bidang kejurulatihan bermula 1990 apabila mengendalikan Piala Presiden Kedah. Antara kejayaan besar yang pernah dilakarnya adalah membawa Kedah ke pentas final Piala Malaysia 2004, juara Liga Perdana 2006, juara double trebel 2007 dan 2008.
Jurulatih berusia 68 tahun dari Alor Setar ini juga pernah dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Muda A pada 2010 dan turut membantu mencipta kejayaan untuk Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia pada 2011, serta membawa Kelantan ke pentas final Piala FA pada musim 2015.
© New Straits Times Press (M) Bhd