Marseille: Beberapa pasukan berbasikal utama bertindak menarik diri daripada perlumbaan Etoile de Besseges di Perancis semalam selepas timbul kebimbangan serius mengenai pengurusan lalu lintas di laluan perlumbaan.
Perlumbaan terpaksa dihentikan sejurus tengah hari selepas sebuah kenderaan muncul di bulatan, sekali lagi mencetuskan kebimbangan selepas insiden serupa berlaku sehari sebelum itu.
Beberapa pasukan memilih untuk tidak meneruskan perlumbaan dan kembali ke bas masing-masing.
“Pasukan kami adalah antara beberapa pasukan yang memutuskan untuk menarik diri daripada peringkat perlumbaan hari ini susulan insiden berulang membabitkan kenderaan bermotor dibenarkan memasuki laluan perlumbaan,” kata pasukan Soudal Quick Step dalam satu kenyataan.
“Kami menganggap ini tidak boleh diterima dan memutuskan untuk tidak meneruskan perlumbaan kerana keselamatan pelumba dan kakitangan adalah keutamaan kami.”
Pelumba Soudal Quick Step, Paul Magnier dari Perancis, ketika itu sedang mendahului perlumbaan lima hari di sekitar Besseges.
Antara pasukan lain yang turut menarik diri ialah Ineos, Lidl Trek, Uno X dan EF Education.
Sehari sebelum itu, kejadian serupa mengakibatkan kemalangan yang memaksa pelumba pilihan dari Belgium, Maxim Van Gils (Bora Red Bull), menarik diri selepas mengalami kecederaan pada pinggul dan pergelangan tangan kanan.
Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat kedua-dua insiden tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd