bisnes@hmetro.com.my
KEMENTERIAN Sumber Manusia (Kesuma) akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig diluluskan secepat mungkin bagi meningkatkan liputan perlindungan sosial dalam kalangan penggiat gig di negara ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pekerja gig di Malaysia bakal menerima perlindungan lebih menyeluruh apabila RUU Pekerja Gig diluluskan selepas dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.
Katanya, liputan perlindungan sosial dalam kalangan penggiat gig disifatkan masih rendah apabila sekadar mencatatkan 26 peratus berbanding 1.16 juta individu yang bekerja dalam sektor berkenaan di seluruh negara.
“Melalui RUU ini, caruman akan diwajibkan bagi semua pekerja gig dan penyedia platform perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan kebajikan pekerja mereka terjamin.
“Usaha ini penting untuk memberikan perlindungan kepada pekerja gig yang sebelum ini hanya mencarum secara sukarela dan sejak tahun lalu, lebih sejuta pekerja gig sudah menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), tetapi jumlah ini masih perlu ditingkatkan untuk memastikan semua pekerja dalam sektor ini mendapat manfaat sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Foodpanda, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk dan Pengarah Operasi Foodpanda Malaysia, Shubham Saran.
Ketika ditanya mengenai sasaran perlindungan pekerja gig, Steven menegaskan bahawa mereka berusaha mencapai peningkatan 100 peratus perlindungan terhadap pekerja gig secepat mungkin.
“Kesedaran mengenai perlindungan semakin meningkat dalam kalangan pekerja gig ini dan lebih ramai yang faham kepentingan perlindungan ini, terutama selepas melihat rakan mereka menerima faedah akibat kemalangan atau musibah.
“Justeru, liputan perlindungan sosial yang sudah dijadikan mandatori bagi sektor ini wajar lebih meluas bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi mereka tidak terjejas andai ditimpa bencana kerja,” katanya.
Beliau berkata, selain pekerja gig, perlindungan itu juga diperluaskan kepada pelbagai sektor lain seperti penjaja berlesen, pemandu bas dan teksi, serta artis dan penggiat seni melalui kerjasama dengan kementerian berkaitan.
Dengan langkah ini, katanya kerajaan berharap pekerja gig tidak lagi terabai dan dapat menikmati perlindungan sosial yang lebih kukuh, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi digital masa kini.
Menurutnya, empat perkara asas RUU berkenaan antaranya memperkenalkan definisi rasmi bagi pekerja gig yang sebelum ini tidak termaktub dalam akta kerja sedia ada yang mana pekerja gig akan mendapat perlindungan yang sewajarnya seperti pekerja sektor lain.
“RUU Pekerja Gig ini akan dibentangkan pada Jun depan di Parlimen dan antara kandungan utama RUU ini adalah mewajibkan caruman Perkeso bagi pekerja gig serta memastikan penyedia platform bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka,” katanya.
Selain itu, RUU ini turut memberi perhatian kepada isu pendapatan pekerja gig, khususnya dalam menangani persaingan harga yang terlalu sengit, mekanisme bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara pekerja gig dan penyedia platform di samping melihat aspek perlindungan keselamatan seperti caruman untuk Perkeso.
© New Straits Times Press (M) Bhd