Pasaraya Lulu promosi produk Malaysia tembusi pasaran lebih luas

Pasaraya Lulu promosi produk Malaysia tembusi pasaran lebih luas
Pasaraya Lulu promosi produk Malaysia tembusi pasaran lebih luas

Pasaraya Lulu Malaysia mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi memperkasa produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

PASARAYA Lulu Malaysia akan terus menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi memperkasa produk tempatan selain meningkatkan jualan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menerusi satu kenyataan, Pasaraya Lulu memaklumkan, dengan menyertai kempen tersebut, mereka bukan sahaja memenuhi kehendak pelanggan tetapi juga menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan itu, kempen tersebut juga dapat meningkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lulu Hypermarket sebagai syarikat antarabangsa.

“Kempen ini membantu meningkatkan jualan produk Malaysia dan memberi peluang kepada pengeluar tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih luas selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia termasuk peluang pekerjaan serta pembangunan perniagaan kecil atau sederhana.

“Sokongan ini bukan sahaja meningkatkan imej Lulu sebagai pasar raya yang prihatin tetapi juga membantu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Lulu menekankan tanggungjawab sosial korporat dengan menyokong kempen yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan,” katanya pada Isnin.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Pasaraya LuLu Malaysia mengadakan peraduan cabutan bertuah beli dan menang bagi meningkatkan jualan produk barangan tempatan serta memberi penghargaan kepada pelanggan.

Tambahnya, langkah tersebut bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi juga membantu jenama Malaysia mendapatkan pengiktirafan lebih meluas.

Dalam pada itu, pelanggan yang ingin menyertai pertandingan tersebut perlu membeli mana-mana produk tempatan dengan harga RM30 bersama tiga unit barang atau lebih.

“Pelanggan berpeluang memenangi hadiah misteri dan eksklusif daripada Pasaraya LuLu sebanyak RM30,000 sepanjang kempen itu dijalankan.

“Kita sudah mulakan program ini bermula 1 Ogos yang lalu dan kali ini ia dijalankan selaras dengan kempen dianjurkan oleh Pasaraya LuLu Malaysia bermula 5 hingga 16 Disember 2024.

“Selain itu, kita juga turut berkolaborasi bersama artis tempatan yang juga pengusaha produk tempatan seperti jenama Mak Jenny untuk mempromosikan barangan mereka di Pasaraya LuLu untuk dipasarkan seluruh Malaysia,” katanya.

Scroll to Top