Pasangan suami isteri, antara 'budak suruhan' along ditahan

Pasangan suami isteri, antara 'budak suruhan' along ditahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis berjaya menahan tiga suspek ‘budak suruhan’ along Singapura yang disyaki melakukan khianat dengan api dan simbah cat di negara ini dengan upah sehingga RM1,500 daripada sindiket itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek termasuk sepasang suami isteri di kawasan rumah di Kepong dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam operasi khas pada 8 serta 9 April lalu.

Menurutnya, penangkapan kesemua suspek yang berumur 20 hingga 22 tahun itu susulan laporan seorang mangsa memaklumkan rumahnya di Ampang dibaling bom petrol (molotov cocktail) pada 20 Mac lalu.

Siasatan mendapati, dua suspek mengenali dan mendapat tawaran along dari Singapura itu dibuat menerusi media sosial yang mana salah seorang dari mereka menjadi orang tengah bagi mendapatkan pekerjaan itu.

“Suspek menerima upah antara RM1,000 hingga RM1,500 sekiranya melakukan khianat dengan api manakala RM600 hingga RM900 bagi khianat simbah cat.

“Siasatan mendapati, dua suspek lelaki terbabit turut menawarkan ‘job’ itu kepada individu lain dengan bayaran antara RM300 hingga RM800,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata, suspek wanita pula berperanan sebagai ‘striker’ yang merakam video dan mengambil gambar ketika kejadian untuk dihantar kepada pihak yang mengupah mereka.

“Semakan pihak boleh mendapati, kumpulan itu melakukan sembilan kes khianat di Selangor, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

“Siasatan masih dijalankan termasuk sama ada mereka ada meminjam daripada along. Mereka didapati tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Jelas beliau, dua suspek lelaki masih direman selama enam hari manakala suspek wanita diberikan ikat jamin polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top