am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Isu Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang khilaf mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay adalah isu terpencil.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menafikan wujudnya ‘seorang dua’ yang bercakap atas kapasiti peribadi dan bukannya mewakili sesebuah parti atau organisasi.
Katanya, setakat ini ahli serta pemimpin PAS masih lagi terkawal dan berdisiplin serta tidak terlanjur kata yang keterlaluan.
“Saya boleh kata dalam semua organisasi (politik) akan ada seorang atau dua orang yang macam ini tapi takkan lah kita nak mengatakan sesebuah organisasi itu semua macam ini.
“Individu punya pandangan tak mewakili parti, tidak mewakili jawatannya sendiri dan kalaupun bercakap atas (jawatan) pesuruhjaya, dia tak boleh mewakili.
“Itu adalah kes terpencil bagi kita… parti lain teruk lagi, kata parti tu celaka la, apa semua tapi bagi kita sebuah parti Islam, masih merasakan kita terkawal, ahli dan pemimpin kita, sentiasa disiplin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi video berdurasi 19 saat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit Ahad lalu.
Susulan itu, beliau menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada Ahli Parlimen Segambut itu serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta berkenaan.
Takiyuddin berkata, tindakan dalaman sudah pasti ada sekurang-kurangnya teguran dan paling tidak pun amaran sekaligus dapat menunjukkan adanya tindakan daripada kepimpinan.
Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak termasuk ahli PAS agar Razman direhatkan sementara daripada jawatan, Takiyuddin berkata, serahkan kepada kepimpinan tertinggi yang membuat keputusan.
“Kuasa melantik pesuruhjaya atas Presiden PAS. Dialah yang boleh menentukan urusan di peringkat pusat.
“Ahli boleh menyuarakan apa saja tapi ‘we should know better than them’, kita pemimpin lebih mengetahui kesan dari satu tindakan dan sebagainya, kita semua ambil kira dah jadi kita harap ahli parti serah kepada kepimpinan untuk selesai masalah,” katanya.
Terdahulu beliau hadir menyaksikan majlis tandatangan dokumen perjanjian antara Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Fateh Kampung Sireh dan Yayasan Nik Yahya, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd