mohamadridzuan@hmetro.com.my
PELAKON Jay Iswazir, 42, tidak sesekali berhasrat melakukan pembedahan kosmetik bagi menghilangkan parut di wajahnya.
Menurutnya, parut itu mempunyai sejarah tersendiri yang membawanya ke dalam industri seni lakon tanah air.
“Masa saya masuk program Pilih Kasih dulu, Datuk Rosyam Nor (penerbit Pilih Kasih) tertarik dengan perwatakan saya kerana parut ini. Ketika itu undian diperlukan untuk saya layak masuk ke Pilih Kasih.
“Datuk adalah salah seorang yang mengangkat tangan untuk bawa saya ke situ. Dia kata saya ada bakat yang yang perlu ditonjolkan. Kiranya, Allah gerakkan hati dia untuk ambil saya.
“Saya tak menafikan ada juga orang yang bagi cadangan, tapi saya dah biasa dengan parut ini sebab saya ‘dapat’ masa umur lima tahun,” katanya.
Jay yang mula mencuri tumpuan penonton menerusi rancangan Bang Bang Boom yang berkonsep ‘prank’ berkata, dia membesar dengan parut ini dan tidak menganggap kecacatan sebaliknya perkara semula jadi.
“Kalau ia berlaku empat tahun lalu, mungkin saya berfikir juga untuk buat sesuatu. Tapi sekarang Alhamdulillah saya selesa saja. Saya masih tidak terganggu dengan parut ini.
“Bagi saya daripada segi ‘marketing’ (pemasaran) pun, ini adalah satu ‘markah’ untuk saya cipta kelainan lain daripada yang lain,” katanya.
Sementara itu, Jay akan tampil berlakon dalam teater Sirih Bertepuk Pinang Menari karya Sasterawan Negara, Noordin Hassan.
Dia membawakan watak Zahiruddin Shah menerusi teater arahan Dr Lenny Erwan yang akan berlangsung pada 29 dan 30 November ini di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Jay sebelum ini mencuri perhatian apabila bercerai dengan isterinya, Azzahra Ahmad.
Berita itu disahkan bekas isterinya itu di Instagram pada 2 November lalu.
Bagaimanapun, Jay enggan mendedahkan punca perceraian mereka dan menghormati keputusan isterinya mendedahkan perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd