Paru-paru berkulat akibat tabiat hidu stoking

Paru-paru berkulat akibat tabiat hidu stoking
Paru-paru berkulat akibat tabiat hidu stoking

Menghidu stoking yang kotor, walaupun ia milik anda sendiri meningkatkan risiko terhidu kulat dan bakteria berbahaya. Agensi

CHONQING – Seorang lelaki di China dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap jangkitan kulat paru-paru yang dipercayai berpunca daripada tabiat menghidu stoking kotornya sendiri setiap hari sebaik pulang dari tempat kerja.

Mangsa merupakan pekerja pejabat pertengahan umur dari Chonqing, yang namanya tidak didedahkan oleh media, telah dimasukkan ke Hospital Barat Daya, Universiti Perubatan Tentera baru-baru ini.

Selepas menjalankan pemeriksaan prosedur imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimbas Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), doktor mendapati bayang-bayang yang mencurigakan di bahagian bawah paru-paru kanannya dan pemeriksaan bronkoskopi berikutnya menunjukkan paru-parunya berkulat disebabkan oleh jangkitan Aspergillus.

Selepas disoal tentang kemungkinan punca jangkitan, lelaki itu telah mengakui tabiat menghidu stokingnya yang kotor setiap kali pulang dari kerja sebelum meletakkannya dalam mesin basuh.

Doktor Liang Peiqiang yang bertugas di Jabatan Perubatan Pernafasan di hospital berkenaan, mengambil stoking lelaki itu yang kotor untuk dianalisa dan menemui kesan Aspergillus dan menentukan bahawa tabiatnya yang pengotor menjadi punca jangkitan.

Stoking yang telah dipakai biasanya mengandungi peluh, garam, urea, dan persekitaran yang hangat dan lembap di dalam kasut menggalakkan pertumbuhan kulat.

Stoking terpakai mengandungi kotoran yang boleh menyebabkan jangkitan kulat. Menghidu stoking yang kotor, walaupun ia milik anda sendiri, meningkatkan risiko terhidu kulat dan bakteria berbahaya.

Sekiranya bakteria terhidu melepasi hidung dan tekak dan berakhir di dalam paru-paru boleh menyebabkan jangkitan kulat yang boleh meninggalkan kesan jangka panjang. – Agensi

Scroll to Top