Parlimen Thailand undi pilih Perdana Menteri baharu esok

Parlimen Thailand undi pilih Perdana Menteri baharu esok

BANGKOK: Dewan Perwakilan Rakyat Thailand akan bermesyuarat pada hari Jumaat untuk mengundi perdana menteri baharu berikutan perintah mahkamah memecat Srettha Thavisin pada hari Rabu.

Speaker Dewan Rakyat, Wan Muhamad Noor Matha menghantar notis kepada semua Ahli Parlimen pada petang Rabu, memanggil mereka untuk bersidang pada pukul 10 pagi pada hari Jumaat, kata Setiausaha Agung DewanArpath Sukhanunth seperti yang dilaporkan Bangkok Post.

Wisuth Chainarun, ketua whip kerajaan dari Parti Pheu Thai, berkata, wakil daripada parti kerajaan dan pembangkang serta kabinet sementara bersetuju undian perlu diadakan secepat mungkin.

“Pemimpin parti gabungan akan mengadakan perbincangan dalaman mengenai calon dalam parti mereka,” kata Wisuth.

Calon yang layak mesti datang daripada senarai yang dikemukakan parti sebelum pilihan raya umum Mei 2023.

Dengan Srettha diketepikan, pemimpin gabungan Pheu Thai mempunyai dua pilihan lagi: ketua parti, Paetongtarn Shinawatra dan Chaikasem Nitisiri.

Posisi Chaikasem, 75, dikatakan agak lemah, manakala masa depan Paetongtarn, 37, bergantung kepada keputusan keluarganya kerana dia akan menghadapi tekanan politik yang berat, kata sumber parti yang enggan namanya disiarkan.

Sumber lain berkata, Chaikasem akan dicalonkan kerana Paetongtarn telah menolak kemungkinan mengambil jawatan itu.

Laporan media tempatan mengatakan tokoh utama kerajaan bersetuju untuk meletakkan nama Chaikasem selepas perbincangan pada malam Rabu dengan bekas perdana menteri dan patriark Pheu Thai Thaksin Shinawatra di rumahnya.

Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong berkata, beliau berharap calon Pheu Thai akan dicalonkan memandangkan parti itu mempunyai ahli parlimen terbanyak dalam gabungan itu.

“Bagaimanapun, sama ada Parti Pheu Thai akan mempunyai slot (perdana menteri) bergantung kepada perbincangan dengan parti gabungan,” katanya.

“Jika parti gabungan lain mencadangkan calon untuk menjadi perdana menteri, kami akan berbesar hati,” katanya.

Sorawong juga menegaskan bahawa skim pemberian dompet digital akan diteruskan sebaik sahaja gambaran politik jelas, kerana ia adalah dasar utama Pheu Thai.

Perdana Menteri sementara, Phumtham Wechayachai juga dijadual mempengerusikan mesyuarat kabinet sementara pada pukul 2 petang hari ini (Khamis) untuk membincangkan cara untuk meneruskan dalam jangka pendek.

Phumtham memendekkan lawatan rasmi ke Kazakhstan dan kembali ke Bangkok pada petang Rabu berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan.

Para hakim berkata Srettha bersalah atas pelanggaran etika kerana melantik menteri yang mempunyai rekod jenayah.

Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul – yang dianggap oleh ramai orang sebagai calon utama untuk jawatan perdana menteri – berkata, pada hari Rabu bahawa gabungan itu kekal kukuh.

Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau tidak memikirkan tentang dirinya untuk pencalonan dan Pheu Thai, sebagai parti terbesar dalam gabungan itu, harus mengetuai pembentukan kerajaan.

Untuk menjadi perdana menteri, calon memerlukan sokongan lebih separuh daripada 493 ahli parlimen semasa, atau 247 undi.

Sekiranya mereka gagal, Dewan mesti bersidang semula kemudian dan mengulangi proses pengundian, dengan peluang untuk calon lain dicalonkan.

Kerajaan gabungan 11 parti mempunyai 314 kerusi dalam Dewan. – UTUSAN

Scroll to Top