PARLIMEN: PAC mulakan prosiding terhadap 5 isu baharu pada 2025

PARLIMEN: PAC mulakan prosiding terhadap 5 isu baharu pada 2025

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap lima isu baharu dijangka akan diadakan mulai 3 Februari hingga 6 Mac 2025.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, lima isu itu termasuk pengurusan lapangan terbang di bawah Kementerian Kewangan (MoF) iaitu Malaysia Airports Berhad (MAHB) dan Khazanah Nasional (Khazanah).

Selain itu, kata beliau, PAC juga akan memulakan prosiding untuk isu pelaburan domestik Khazanah dan pembangunan tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“(Selain itu prosiding diadakan untuk isu ekosistem perkhidmatan kesihatan swasta, mekanisme pengawalan, rangka perundangan dan kaedah pembiayaan melalui insurans perubatan, implikasi kenaikan harga perkhidmatan swasta kepada hospital kerajaan di bawah MoF, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“(Malah prosiding mengenai) perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, dalam mesyuarat pertama itu juga PAC akan membentangkan enam laporan antaranya mengenai Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah dan Komitmen Jaminan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, laporan membabitkan Pengurusan Pelaksanaan Projek Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), Perolehan sistem Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing (FWCMS), Pengurusan Air Negara dan Pengurusan Program Penanaman Padi akan dibentangkan.

“Selain itu, tiga prosiding Laporan Tindakan Susulan akan turut dibentangkan mengenai Majlis Profesor Negara (MPN), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pengurusan Mara Incorporated Sdn. Bhd,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC sudah mengadakan sejumlah 148 mesyuarat dan membentangkan 22 laporan di Dewan Rakyat sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, jumlah laporan tersebut merangkumi 11 Laporan PAC dan 11 Laporan Tindakan Susulan Kementerian bagi Syor-Syor PAC.

“Berbanding pada tahun 2023, PAC hanya mengadakan 64 mesyuarat dan membentangkan 13 laporan.

“Daripada 22 laporan yang telah dibentangkan pada 2024, beberapa isu telah menjadi kejayaan terbesar PAC dan berjaya menarik perhatian rakyat terhadap isu-isu seperti Felcra Berhad, Pengurusan Pekerja Asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS.

 “Selain itu, Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp),” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top