Parlimen: Keputusan laksana semula PLKN 3.0 dijangka pertengahan 2024

Parlimen: Keputusan laksana semula PLKN 3.0 dijangka pertengahan 2024

KUALA LUMPUR: Keputusan memperkenal semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sebelum ini dimansuh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya akan diketahui pada pertengahan tahun 2024.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, rancangan menghidupkan semula PLKN 3.0 masih di peringkat jawatankuasa dan kementerian belum membentangnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kabinet.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pelaksanaan semula PLKN 3.0 adalah satu kemestian bagi membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi akan datang.

Katanya lagi, 90 peratus modul yang akan diguna adalah berasaskan ketenteraan dalam aspek pembinaan disiplin dan fizikal, manakala 10 peratus lagi berhubung nilai-nilai kenegaraan Malaysia.

“Sekali MKN beri pandangan untuk dipertimbang, selepas itu kita akan dapatkan pandangan Kabinet. Soal mata pelajaran, ini juga akan dibentang kepada MKN, selepas itu dibawa ke Kabinet.

“Jadi, saya jangka pertengahan tahun depan dapat keputusan Kabinet ya atau tidak untuk meneruskan PLKN 3.0 ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Siang tadi, Mohamad memberitahu, kerajaan bersetuju meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza yang menyaksikan pelatih menjalani latihan di kem tentera.

Katanya, sebanyak 13 kem tentera Wataniah dengan kapasitinya menampung seramai 20,000 pelatih diguna untuk latihan selama 45 hari – tempoh yang dikurangkan berbanding tiga bulan sebelum ini.

Jelasnya, satu jawatankuasa khas ditubuhkan Mindef untuk mengkaji bagaimana cara menghidupkan semula PLKN dengan acuan baharu.

Pada Julai lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adli Abd. Halim berkata, kerajaan belum merancang melaksana semula PLKN kerana terdapat beberapa pelaksanaan lain dapat diguna pakai seperti program Rakan Muda yang diwujudkan sejak tahun 1994 lagi.

PLKN sebelum ini dimansuh semasa pentadbiran kerajaan PH pada 2018 menyaksikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Menteri Belia dan Sukan ketika itu bertanggungjawab terhadap pemansuhannya.

Selain PLKN, turut dimansuh adalah Biro Tata Negara (BTN) dengan apa yang dianggapnya sebagai wujud unsur doktrin politik.

PLKN 1.0 diasaskan sejak 2004 dan ditambah baik menjadi PLKN 2.0 pada 2016. PLKN 2.0 dilaksana dalam dua fasa melibatkan Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) menggunakan lapan modul di 81 kem di seluruh negara dan latihan kemahiran tiga hingga 24 bulan di 400 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Syed Saddiq pada Mei lalu dilaporkan tidak menyesal memansuhkan PLKN, sebaliknya menegaskan tiada keperluan menubuhkannya semula yang dilihat sebagai satu bentuk pembaziran wang dan sebagai alat politik.-UTUSAN.

Scroll to Top