KUALA LUMPUR: Kumpulan yang berpendapatan sederhana atau M40 sering dianggap sebagai golongan ‘mahakaya’ hingga menyebabkan mereka tidak mendapat sebarang atau menikmati bantuan daripada kerajaan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, golongan M40 turut membayar cukai tetapi sering kali tercicir daripada bantuan atau program yang dilakukan oleh kerajaan.
Kata beliau, kerajan perlu berhati-hati dalam pengkelasan pendapatan rakyat supaya tidak golongan yang memerlukan tercicir daripada bantuan atau subsidi daripada kerajaan.
“Saya ingatkan Tambun, jangan tersalah sasar, konon nak tembak T15 tetapi M40 pula yang kena peluru sesat Madani,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang merupakan ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) menyarankan kerajaan melaksanakan kajian bagi mencari mekanisme terbaik untuk penyasaran susbidi petrol RON95 bagi mengelak ketirisan.
“Menggunakan kad pengenalan bagi mengisi minyak, dibimbangi disalah guna oleh pihak lain dan menyusahkan pengguna.
“Saya mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian subsidi melalui tunai ke akaun bank mereka yang layak dengan syarat jumlah tersebut boleh ditingkatkan sekiranya harga minyak dunia melambung tinggi atau naik secara mendadak,” katanya. – UTUSAN