Paris 2024: Barang milik juara BMX Logan Martin dicuri di Brussels

Paris 2024: Barang milik juara BMX Logan Martin dicuri di Brussels
Paris 2024: Barang milik juara BMX Logan Martin dicuri di Brussels

Atlet berbasikal dari Australia berusia 30 tahun itu berkongsi gambar dan video kejadian berkenaan menerusi media sosial miliknya semalam.

PEMENANG pingat emas gaya bebas BMX lelaki Logan Martin kehilangan barang miliknya dipercayai dicuri di Brussels semasa membuat persiapan bagi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berbasikal dari Australia berusia 30 tahun itu berkongsi gambar dan video kejadian berkenaan menerusi media sosial miliknya semalam, yang memaparkan tingkap van sewanya dipecahkan di ibu negara Belgium itu.

“Mereka mencuri empat beg dan meja urut, namun terima kasih kepada penjejak di dalam beg basikal saya, kami menjumpai dua daripada empat bag serta meja urut berkenaan di sebuah taman. Saya kehilangan dompet, beg galas dan beberapa barangan, tetapi secara keseluruhan ia mungkin lebih teruk.

“Nasib baik, kebanyakan barangan ada di dalam bilik kami, dan kami berjaya mendapatkan semula banyak barang.

“Amat dikesali apabila orang merasakan mereka perlu melakukan perbuatan seperti ini,” menurut juara dunia 2017 dan 2021 dalam hantaran Facebook.

Logan Martin. Foto AAP

Logan Martin. Foto AAP

Bagaimanapun, gambar dan video yang tersebar dalam talian itu, didakwa berlaku di Paris.

Acara gaya bebas BMX Paris 2024 dijadualkan berlangsung pada Selasa dan Rabu depan (30-31 Julai) di Place de la Concorde.

Dalam kejadian lain, dua petugas televisyen dari Australia mengalami kecederaan dalam kejadian cubaan rompakan berkumpulan, manakala seorang wanita Australia didakwa dirogol pada Sabtu, menurut laporan media.

Berdasarkan tinjauan bernama, anggota polis dan keselamatan dilihat bertugas di venue Olimpik dan kawasan awam apabila pihak berkuasa mengetatkan protokol keselamatan menjelang upacara pembukaan esok. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!