Paraguay larang penyokong pakai jersi Argentina, Messi

Paraguay larang penyokong pakai jersi Argentina, Messi

PARAGUAY tidak membenarkan para penyokong pasukan tersebut memakai jersi Argentina atau pasukan kelab yang tertera nama Lionel Messi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia FIFA menentang pasukan juara dunia itu.

Pengarah Persekutuan Bola Sepak Paraguay, Fernando Villasboa berkata, penyokong yang ingkar arahan tersebut tidak akan dibenarkan masuk ke stadium menonton perlawanan Paraguay menentang Argentina yang akan berlangsung di Stadium Defensores del Chaco pada Jumaat.

Paraguay mahu menjadikan kunjungan Argentina ke stadium tersebut umpama perlawanan akhir dengan sokongan padu daripada penyokong sendiri untuk meraih keputusan positif dalam kempen kelayakan itu.

“Peminat yang memakai baju pasukan kebangsaan Argentina, Barcelona, Paris Saint Germain (PSG) atau Inter Miami dengan nama Messi tidak akan dibenarkan masuk ke dalam stadium.

“Tiada sesiapa pun dibenarkan memakai baju kelab Argentina atau kelab yang dinamakan sempena nama pemain dari negara lain.

“Kami mahu memastikan Stadium Defensores del Chaco dalam warna ‘Albirroja’, supaya pemain dapat merasakan sokongan dari tempat penonton,” katanya.

Sebelum ini, Paraguay sudah melakukan tindakan sama ketika menerima kunjungan Brazil dan hasilnya mereka berjaya menewaskan pasukan itu 1-0.

Paraguay ketika ini berada di kedudukan keenam manakala Argentina di kedudukan teratas kempen Kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan itu.

Scroll to Top