am@hmetro.com.my
Sepang: Sebarang tindakan berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diambil selepas laporan penuh berhubung insiden itu diperoleh.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim sudah diarahkan supaya menyediakan laporan berkenaan.
“Isu utama di sini ialah apabila kita nak reka bentuk bendera, buatlah betul-betul, kita kena faham semangat Jalur Gemilang itu sendiri.
“Masalah sebegini timbul apabila kita sendiri tidak faham erti semangat bendera terbabit,” katanya ketika ditemui pada Sesi Meja Bulat Bersama Ketua Setiausaha Negara Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu, tular gambar kesilapan pemaparan Jalur Gemilang yang dicetak dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang diedarkan, hari ini.
Gambar itu memaparkan Jalur Gemilang tidak mengikut reka bentuk sepatutnya, yang dilihat digantung di bahagian hadapan sebuah bilik darjah.
Susulan itu, KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan sudah mengambil tindakan tegas dan serta-merta terhadap semua pihak yang terbabit insiden kesilapan pemaparan Jalur Gemilang itu.
KPM menegaskan, kecuaian itu tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, kesilapan terbabit tidak seharusnya berlaku dan pihak berkenaan wajar melakukan pemeriksaan berkali-kali.
“Proses itu harus dibuat secara teliti kerana apa sahaja yang kita nak terbitkan terutama untuk liputan media, kena periksa betul-betul kerana kadang-kadang manusia ini terlalu selesa, (sebab itu) terlepas (kesilapan pemaparan Jalur Gemilang).
“Seharusnya reka bentuk bendera negara dihasilkan dengan tangan sendiri dan bukan bergantung sepenuhnya dengan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd