Pantai popular di Iran berubah menjadi merah seperti darah selepas hujan

Pantai popular di Iran berubah menjadi merah seperti darah selepas hujan
Pantai popular di Iran berubah menjadi merah seperti darah selepas hujan

Seorang pengunjung melihat air pantai mula berubah seperti darah.

TEHERAN – Sebuah pantai yang terkenal di Iran telah berubah menjadi merah menyala, seolah-olah diliputi darah, selepas hujan lebat melanda kawasan pesisir pantai yang kaya dengan mineral di Pulau Hormuz.

Video yang tular di media sosial menunjukkan air hujan mengalir deras dari kawasan pergunungan, membawa bersama tanah merah yang kaya dengan mineral sebelum bercampur dengan air laut.

Fenomena unik ini telah menimbulkan rasa kagum dalam kalangan pelancong dan pengguna media sosial yang menyaksikannya sama ada secara langsung mahu pun melalui platform dalam talian.

Hujan lebat membawa bersama mineral ke laut.-Agensi

Hujan lebat membawa bersama mineral ke laut.-Agensi

Menurut hantaran yang disertakan dalam video tersebut, fenomena ini digambarkan sebagai permulaan kepada suatu ‘persembahan alam semula jadi yang menakjubkan’.

“Permulaan hujan lebat di Pantai Merah yang terkenal di Hormuz. Pelancong terpegun menyaksikan keindahan ini,” menurut hantaran pada video tersebut.

Seorang pengguna media sosial mengaitkan fenomena ini dengan kisah-kisah lama yang dianggap mistik.

“Ini mungkin antara kisah yang diceritakan dalam kitab suci dahulu. Dahulu ia dianggap mistik, tetapi kini sains dapat menjelaskannya,” tulis pengguna tersebut.

Pulau Hormuz, yang terletak di Selat Hormuz, terkenal dengan tanahnya yang kaya dengan oksida besi merah atau Gelack.

Menurut Organisasi Pelancongan dan Warisan Budaya Iran, mineral ini bukan sahaja digunakan dalam industri malah turut dijadikan bahan masakan oleh penduduk tempatan, terutamanya dalam penyediaan sos dan jem tradisional.

Gunung merah yang terletak berhampiran pesisir pantai ini menjadi punca utama fenomena air laut bertukar menjadi merah selepas hujan lebat. Warna merah yang mencolok ini sering menjadi daya tarikan kepada pelancong, terutamanya ketika matahari terbit dan terbenam, apabila pasir pantai berkilauan akibat kandungan mineralnya yang tinggi.

Selain Pantai Merah, Pulau Hormuz juga menawarkan pantai berbatu, gua laut yang misteri, serta landskap geologi yang unik, menjadikannya antara destinasi pelancongan yang semakin popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa. – Agensi

Scroll to Top