Panik dengan waran tangkap, dua individu rugi RM350,000

Panik dengan waran tangkap, dua individu rugi RM350,000

am@hmetro.com.my

Nilai: Dua individu kerugian hampir RM350,000 selepas diperdaya ‘pegawai polis’ yang mendakwa mereka terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

Mangsa masing-masing berusia 54 dan 66 tahun yang panik selepas menerima panggilan bermula awal Mac lalu melakukan sembilan transaksi kepada sindiket kononnya untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima aduan daripada dua mangsa yang juga suri rumah dan pesara kerajaan mendakwa ditipu, semalam.

“Mangsa menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali menyamar sebagai pegawai polis pada awal Mac lalu mendakwa mereka terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Suspek memaklumkan waran tangkap sudah dikeluarkan atas nama mereka dan kedua-dua pengadu membuat sembilan pindahan wang secara atas talian ke lapan akaun bank dari 7 Mac sehingga 22 Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, mangsa lelaki mengalami kerugian sebanyak RM163,000, manakala mangsa wanita kerugian RM186 dengan jumlah keseluruhan kerugian adalah RM349,086.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top