Pangsapuri Pahangku wujud bandar baharu di Bentong – Mohamad Zaini

Pangsapuri Pahangku wujud bandar baharu di Bentong – Mohamad Zaini

BENTONG: Projek Pangsapuri Pahangku di kawasan berhampiran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di daerah ini akan memajukan kawasan itu sebagai bandar baharu dan lokasi tumpuan di Bentong.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, kewujudan bandar baharu tersebut akan menyediakan dan memastikan penduduk menikmati pembangunan selesa serta memenuhi kualiti hidup masyarakat.

Selain itu katanya, pembinaan pangsapuri berkenaan mampu mewujudkan dan memastikan rakyat di daerah ini khususnya golongan berpendapatan rendah mempunyai kediaman sesuai kemampuan mereka.

“Kita menyokong penuh usaha kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membangunkan projek Pangsapuri Pahangku di Bentong.

“Projek ini tentunya akan memperkasa aktiviti ekonomi penduduk dan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk.

“Ia secara tidak langsung akan memajukan kawasan tersebut sebagai bandar baharu dan lokasi tumpuan di Bentong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, Wan Rosdy dilaporkan berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bersetuju membangunkan projek perumahan Pangsapuri Pahangku di kawasan berhampiran ECRL di Bentong.

Menteri Besar berkata, projek ini sebahagian inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik dan selesa kepada rakyat Pahang khususnya kepada golongan muda selain memanfaatkan sistem pengangkutan ECRL.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar kerana memilih Bentong sebagai lokasi pembinaan Pangsapuri Pahangku.

“Semoga usaha murni ini akan berjalan lancar, mengubah landskap ekonomi Bentong dan apa yang lebih penting meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top