am@hmetro.com.my
Putrajaya: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyambut baik perancangan Kerajaan Selangor untuk menjadikan Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang sebagai salah satu penempatan sementara kepada mangsa letupan saluran gas di Putra Heights, Puchong.
Menurutnya, rumah SMARTSewa Selangor dengan subsidi kerajaan Selangor ini boleh menempatkan kepada 116 keluarga yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Katanya, beliau sudah menerima maklum berkenaan perkara ini secara tidak rasmi daripada Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, semalam
“Kita memahami jarak di antara lokasi kejadian dengan penempatan ini kira-kira 30 kilometer, dan ia tertakluk sepenuhnya dengan persetujuan mangsa,” katanya melalui satu kenyataan.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Selangor akan menawarkan lebih 100 rumah menerusi skim SMART Sewa Selangor kepada mangsa dengan sebahagian kadar sewaan ditanggung kerajaan.
Menurutnya, bagaimanapun, kerajaan negeri ketika ini masih mengenal pasti lokasi kediaman sementara berkenaan, selain mangsa dijangka memasuki rumah itu mulai minggu depan.
Katanya, rumah sementara ini akan disediakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di samping mendapat kerjasama daripada pihak Airbnb.
“Sebahagian mangsa akan ditempatkan di Kota Warisan, Sepang, manakala bakinya bakal mendiami rumah di beberapa kawasan yang akan dikenal pasti kemudian,” katanya.
Aiman Athirah berkata, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi itu dengan tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua petak tempat letak kenderaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd