rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menarik perhatian apabila menerbangkan pesawat Sukhoi Su-30MKM di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Beliau turut melaksanakan Misi Pemintasan Pesawat Asing dan ‘Force Down’ yang menjadi antara tindakan pantas skuadron pesawat pejuang dalam melaksanakan tugasan memintas pesawat asing menceroboh ruang udara negara.
Menurut TUDM, demonstrasi pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkenaan diadakan sempena lawatan kerja Jawatankuasa Kerja Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JKK SSPA).
“Demonstrasi itu dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan kepada delegasi yang hadir mengenai pengoperasian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TUDM.
“Ia seiring dengan cadangan penambahbaikan SSPA bagi perkhidmatan ATM yang sudah dikemukakan kepada JKK SPPA,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi, hari ini.
TUDM berkata, pembabitan PTU, pegawai dan anggota TUDM terbabit membuktikan kesiagaan aset dan pasukan dalam menjaga kedaulatan negara.
Dalam lawatan kerja berkenaan, TUDM turut melaksanakan beberapa demonstrasi lain termasuk penerbangan taktikal secara rendah, penerjunan bebas, misi mencari menyelamat tempur, misi serangan darat dan sokongan udara.
Sebahagian demonstrasi dilaksanakan itu turut disertai wakil Jabatan Perkhidmatan Awam yang hadir bagi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri cabaran dan risiko dihadapi pasukan dalam melaksanakan misi.
Untuk rekod, Sukhoi Su-30MKM adalah pesawat tempur pelbagai peranan canggih yang dioperasikan oleh TUDM.
Malaysia menandatangani kontrak dilapor bernilai AS$900 juta dengan Russia pada 2003 untuk memperolehi 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM, dengan pesawat pertama diterima pada 2007.
© New Straits Times Press (M) Bhd