Seorang pemuda berusia 25 tahun, Kok Zi Kang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas terlibat dalam kemalangan maut melibatkan seorang penghantar makanan.
Menurut laporan Kosmo, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian mangsa, Mohd. Taufik Ariff Sariff yang berusia 37 tahun.
Pandu BMW lebihi had alkohol?

Menurut pertuduhan, Kok Zi Kang didakwa memandu sebuah BMW 530i dengan kadar alkohol melebihi 26mg/100ml darah, yang melebihi had dibenarkan undang-undang.
Kemalangan tragis itu berlaku pada pukul 2.10 pagi, 13 April lalu, di KM16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, berhampiran Taman Desa Jaya.
Bukan tu jer, tertuduh juga berdepan tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang bukan milik kenderaan dipandu. Kesalahan tersebut dikesan sekitar jam 4.30 pagi di Balai Polis Trafik IPD Seri Alam.
Jamin RM8,000 dan lesen digantung

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000, tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Lebih tegas, lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei 2025.