Pandu berbahaya, lawan arus dan rempuh rumah penduduk

Pandu berbahaya, lawan arus dan rempuh rumah penduduk

Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka berjaya menahan seorang pemandu lori yang cuba melarikan diri sejauh 25 kilometer kerana memandu secara berbahaya dan melawan arus, ketika diarah berhenti di Lebuh SPA (Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh) di sini hari ini.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi, lelaki berumur 27 tahun yang memandu lori lima tan dengan muatan bahan binaan itu ditahan dengan kerjasama penduduk, selepas dia melompat keluar daripada kenderaan untuk meloloskan diri di Taman Krubong Jaya di sini.

Beliau berkata, tindakan suspek juga menyebabkan lori terbabit bergerak tanpa kawalan sehingga merempuh sebuah rumah di taman berkenaan menyebabkan kerosakan pada pagar dan tembok kediaman, selain sebuah kenderaan Mitsubishi Triton.

“Suspek pada mulanya diarah berhenti untuk pemeriksaan anggota penguat kuasa JPJ yang sedang melakukan rondaan di Lebuh SPA, namun pemandu lori terbabit enggan berbuat demikian dan melarikan diri, menyebabkan anggota terpaksa mengejar selama 45 minit.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, laporan berhubung kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Durian Tunggal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati lori berkenaan mempunyai lapan saman lampau yang telah diselesaikan dan sebanyak lima notis saman baharu dikeluarkan terhadap pemandu terbabit atas kesalahan antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan barangan (GDL), tidak mematuhi lampu isyarat merah dan memandu secara cuai.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan dalam insiden itu mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan jalan raya terjamin.

Hari ini, tular di media sosial video berdurasi 42 saat yang merakam kejadian sebuah lori memandu melawan arus serta mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain ketika cuba melarikan diri daripada ditahan sebuah kenderaan penguat kuasa JPJ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top