Palestin umum henti terima bantuan kerana trak kehabisan minyak

Palestin umum henti terima bantuan kerana trak kehabisan minyak

GAZA CITI – Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengumumkan berhenti daripada menerima bantuan kemanusiaan berikutan wilayah itu kehabisan minyak bagi pengoperasian trak.

Menurutnya, 155 trak bantuan kemanusiaan daripada Bulan Sabit Merah Mesir yang diterima pada Isnin adalah yang terakhir dibawa masuk ke Gaza.

“Trak ini membawa bekalan penting seperti makanan, air, barangan bantuan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan.

“Trak ini adalah ketibaan terbaharu berikutan pengumuman UNRWA (Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bahawa ia terpaksa menghentikan penerimaan bantuan hari ini kerana kehabisan bahan api dalam trak.

“Sejak 21 Oktober 2023, sebanyak 1,135 trak telah diterima, dengan purata sekitar 47 trak sehari. Malangnya, pihak berkuasa penjajah Israel tidak membenarkan kemasukan bahan api setakat ini,” katanya dalam media sosial.

Sementara itu The Times of Israel hari ini melaporkan, Israel dilaporkan membenarkan trak UNRWA mengisi minyak buat kali pertama sejak melakukan serangan ganas ke atas wilayah Palestin itu pada 7 Oktober.

Menurutnya, trak-trak terbabit akan menerima bekalan bahan api bermula esok.

Portal itu mendakwa, seorang pegawai AS memberitahu laman berita Walla, Israel sebelum ini telah menyediakan bahan api untuk tujuan kemanusiaan sejak dua minggu lalu melalui penyelarasan dengan Pasukan Pertahanan Israel

Bekalan bahan api bagaimanapun katanya, berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Israel sehingga kini menentang sebarang usaha untuk membenarkan bahan api di bawa masuk ke Gaza dengan alasan bahawa ia akan digunakan oleh pejuang Hamas.

Namun selepas beberapa minggu tekanan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Israel bersetuju dengan rancangan yang akan membenarkan bahan api masuk ke Gaza melalui trak UNRWA.

Sumber Israel memberitahu Walla bahawa perjanjian itu akan menyaksikan trak UNRWA diisi minyak dengan bekalan 48 jam dan akan menerima bekalan dua hari lagi sebaik sahaja yang pertama kehabisan. – Agensi