Palestin kini hadapi bahaya Nakba baharu – Mahmoud Abbas

Palestin kini hadapi bahaya Nakba baharu – Mahmoud Abbas

RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran bahawa rakyat Palestin kini berdepan keadaan yang menyerupai satu lagi Nakba, sekali gus mengancam kewujudan dan perjuangan nasional mereka, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Berucap pada pembukaan sesi ke-32 Majlis Pusat Palestin di Dewan Ahmed Shuqairy di Ramallah pada Rabu, Abbas berkata, perkembangan semasa merupakan kesinambungan bencana lampau, termasuk Nakba 1948, pengusiran 1967 dan perpecahan politik dalaman pada 2007.

“Kita sedang berdepan bahaya besar yang semakin menyerupai Nakba baharu, yang mengancam kewujudan kita dan memberi isyarat kepada pelupusan perjuangan nasional Palestin,” katanya.

Abbas menyifatkan ancaman itu sebagai sebahagian daripada pelan berterusan yang berpunca daripada pengusiran asal rakyat Palestin.

Beliau berkata, usaha diplomatik semasa di peringkat Arab, Islam dan antarabangsa kini tertumpu kepada empat keutamaan nasional utama.

Antaranya ialah menghentikan apa yang disifatkannya sebagai “perang pembasmian” Israel di Gaza, memastikan pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah itu, menghentikan pencerobohan berulang ke kawasan Tebing Barat, serta mencegah pencerobohan di tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis, Hebron dan seluruh Palestin.

Abbas turut menyatakan bahawa operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat, yang digambarkannya sebagai “keganasan terancang,” mempunyai matlamat sama dengan serangan di Gaza – iaitu untuk menghapuskan perjuangan nasional Palestin dan mengenakan dasar pendudukan melalui kekerasan.

“Keadaan di Baitulmuqaddis, ibu kota abadi dan suci kami, tidak berbeza dengan kawasan lain di tanah air,” katanya.

Beliau merujuk kepada pelbagai langkah Israel di bandar itu, termasuk sekatan yang semakin ketat, perobohan rumah dan infrastruktur rakyat Palestin, sekatan ke atas akses ke tempat suci, serta usaha menghapuskan identiti Palestin.

Abbas turut mendakwa Israel bertindak di luar kerangka undang-undang antarabangsa, mengingkari perjanjian dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), dan memupuk ekstremisme serta keganasan.

Beliau mengkritik tekanan kewangan ke atas rakyat Palestin, termasuk penyitaan lebih US$2 bilion hasil kutipan cukai dan rampasan tanah serta harta persendirian.

Mengulangi pendiriannya, Abbas menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan di rantau ini hanya boleh dicapai melalui proses politik berasaskan legitimasi antarabangsa dan pengakhiran pendudukan Israel.

“Visi kami untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh serta menjamin kestabilan di Palestin dan rantau ini menuntut satu ufuk politik yang berasaskan pengakhiran pendudukan Israel dan pelaksanaan resolusi sah antarabangsa,” katanya.

Visi itu, kata beliau, merangkumi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat, berdaya maju dan berjiran, serta diiktiraf sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Bernama

Scroll to Top