PALAPES aset strategik dalam perkukuh Angkatan Tentera Malaysia

PALAPES aset strategik dalam perkukuh Angkatan Tentera Malaysia

Dalam usaha Malaysia untuk terus mengatasi cabaran keselamatan serantau dan mengekalkan kedudukan pertahanan yang kukuh, potensi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) perlu dioptimumkan sepenuhnya. Jalinan unik antara kerangka akademik dan latihan ketenteraan merupakan aset strategik dalam memperkukuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PALAPES aset strategik

PALAPES umumnya menyediakan latihan asas ketenteraan selama tiga tahun dengan memberi latihan kepimpinan, disiplin dan kesiagaan operasi untuk menyumbang secara efektif dalam sektor ketenteraan dan awam. Setiap tahun, sebanyak RM40 juta diperuntukkan kepada PALAPES dengan lebih daripada 1,000 graduan menamatkan latihan dari universiti-universiti di seluruh Malaysia.

Walaupun setiap kadet diberikan latihan asas ketenteraan serta kemahiran kepimpinan melalui PALAPES, ramai yang tidak sepenuhnya diintegrasikan ke dalam ATM selepas menamatkan latihan. Malah, terdapat para pegawai yang telah ditauliahkan ini yang terus memisahkan diri daripada dunia ketenteraan. Pada tahun 2022, hanya kira-kira 40 peratus pegawai kadet PALAPES melaporkan diri ke unit Rejimen Askar Wataniah di kawasan masing-masing.

PALAPES aset strategik

Foto: MINDEF 

Keadaan ini nyata berbeza dengan beberapa negara lain yang berjaya mengoptimumkan pegawai simpanan mereka. Di Amerika Syarikat, kira-kira 70 peratus pegawai tentera aktif direkrut melalui Program Reserve Officers’ Training Corps (ROTC). Pelatih ROTC yang direkrut dari universiti di seluruh Amerika Syarikat menyumbang secara signifikan kepada kekuatan tentera aktif melalui cabang-cabang khusus seperti pertahanan siber, kejuruteraan, dan logistik.

Malah, Komando Tentera Darat Amerika Syarikat yang bertanggungjawab bagi operasi siber, U.S. Army Cyber Command (ARCYBER), mempunyai sejumlah graduan ROTC ‘dua dalam satu’, iaitu berpengetahuan tinggi dalam teknologi awam dan strategi ketenteraan. Kadet ROTC turut diberi peluang menjalani latihan praktikal bersama ARCYBER dalam pertahanan siber. Pada tahun 2022, kadet ROTC dari pelbagai universiti menjalani program latihan selama empat minggu bersama unit siber di lokasi penting seperti Fort Gordon dan Fort Meade.

Jika kita melihat kepada perbandingan dengan negara-negara lain yang mempunyai program latihan pegawai simpanan yang serupa, jelas bahawa aset penting negara ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Persoalannya, bagaimana Malaysia boleh sepenuhnya mengoptimumkan bakat-bakat terbaik dan berkemahiran ini?

Kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Syarahan Eksekutif PALAPES Universiti Awam pada 5 September 2024 menegaskan yang anggota PALAPES adalah kumpulan “bakat-bakat terbaik” yang mampu menyumbangkan kepakaran dan kemahiran, khususnya terhadap ancaman keselamatan bukan tradisional.

PALAPES aset strategik

Foto: Bernama

Perhatian terhadap pemeliharaan bakat PALAPES oleh Menteri Pertahanan ini sebenarnya merupakan satu langkah strategik yang diperlukan bagi mengelakkan pembaziran sumber berbakat dan berkemahiran. Dengan mengambil kira jalinan antara kemahiran fizikal dan intelektual yang dimiliki oleh para graduan PALAPES, adalah satu kerugian sekiranya bakat ini tidak dikembalikan kepada sektor pertahanan negara. Malah, potensi ini mampu mewujudkan institusi pertahanan berasaskan ‘smart power ’- iaitu, jalinan antara ‘soft power’ dan ‘hard power’, terutamanya dalam menghadapi ancaman siber kontemporari.

PALAPES sebagai aset strategik ATM

Dengan ancaman siber yang semakin meningkat di seluruh dunia, kewujudan armada siber yang mahir dalam kedua-dua teknologi ketenteraan dan awam berupaya memberikan Malaysia kelebihan dalam mempertahankan sempadan digitalnya. Graduan terbaik daripada universiti, terutamanya dalam bidang kritikal seperti sains komputer yang merangkumi segala subdisiplin kontemporari seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi maklumat (IT), wajar diberikan peranan dalam melindungi negara daripada ancaman keselamatan bukan tradisional.

Begitu juga dengan bidang-bidang pengajian seperti falsafah, ekonomi, perubatan, dan pengajian dasar. Kesemuanya memainkan peranan yang tersendiri dan saling melengkapi dalam membentuk pertahanan negara yang kukuh. Apa yang penting ialah PALAPES perlu berupaya menarik minat ramai dalam mewujudkan suasana kompetitif yang akhirnya mampu melahirkan pegawai tentera yang serba boleh dan berpakej.

Sekalipun graduan PALAPES tidak berkhidmat sepenuh masa dalam ATM, sekurang-kurangnya negara telah berjaya menyediakan pasukan simpanan yang berkualiti tinggi serta berkebolehan untuk menghadapi situasi kritikal dan mendesak. Dalam teori ketenteraan, pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada barisan hadapan semata-mata, tetapi barisan belakang yang terdiri daripada askar sukarela juga memainkan peranan yang signifikan.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila negara kecil seperti Singapura telah menyediakan pegawai simpanan melalui program Khidmat Negara (NS). Pada tahun 2022, terdapat kira-kira 252,500 anggota simpanan dalam Singapore’s Operationally Ready National Servicemen (NSmen) yang bersedia untuk dimobilisasi pada bila-bila masa. Atas pertimbangan ini, PALAPES merupakan aset bernilai tinggi yang mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya.

PALAPES aset strategik

Foto: Kosmo!

Tebus hutang PTPTN

Dalam konteks mengoptimumkan bakat dan minat pegawai PALAPES ini, saya tertarik dengan idea Menteri Pertahanan yang baru-baru ini menzahirkan idea untuk mempertimbangkan penebusan sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan PALAPES yang diterima menyertai pasukan ATM. Inisiatif yang inovatif seperti itu wajar diberikan kredit dan berupaya menjadi ‘game changer; penting yang berpotensi menarik lebih ramai bakat terbaik untuk menyertai PALAPES, sekali gus menyediakan sumber tenaga bermutu untuk ATM.

Kaedah penawaran biasiswa pengajian sebenarnya bukanlah baharu. Program ROTC, AS turut memberikan biasiswa secara penuh atau sebahagian dengan syarat pelajar perlu memenuhi kewajipan perkhidmatan aktif selepas tamat pengajian. ROTC Taiwan juga memberi subsidi penuh untuk yuran pengajian, penginapan, dan elaun bulanan sebanyak NT$12,000 (RM1,600).

Artikel lain: Anggota PALAPES diseru sertai ATM atau pasukan simpanan, sukarela – Khaled

Yang pasti, demi mendapatkan penyertaan menggalakkan daripada individu bermutu tinggi dan berbakat, PALAPES perlu ditransformasikan. Antaranya dengan memperkenalkan modul-modul latihan yang segar seperti peluang pertukaran ke luar negara, tawaran biasiswa penuh dan mempertimbangkan kenaikan elaun semasa. Strategi untuk merekrut kadet yang berlatarbelakangkan bidang I.T. melalui PALAPES juga perlu dipergiat. Misalnya dengan membuka pengambilan khas serta penawaran insentif yang lebih menarik.

Dengan ini, PALAPES berpotensi menjadi rebutan dalam kalangan individu yang mempunyai latar belakang bidang kritikal ini, sekali gus menyediakan pelapis yang bijaksana dan berkemahiran. Tawaran Menteri Pertahanan untuk membuka 100 laluan khas PALAPES menyertai ATM diharapkan mampu menambah daya tarikan program ini serta mengelakkan pembaziran sumber. Jika ATM merupakan jantung negara, PALAPES pula adalah nadi yang menggerakkan potensi pertahanan kita. Adalah wajar agar bakat dan kemahiran pegawai  PALAPES diberikan perhatian dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Oleh:
Shah Mohd Akmal Abdul Halim. Penulis sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan, Universiti Utara Malaysia.

Sebarang pertanyaan dan penjelasan, penulis boleh dihubungi di talian +6017 7599328.

Scroll to Top