KLANG: Sebanyak 11 kawasan di Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas terdapat insiden paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas di sini petang tadi.
Kejadian tersebut menyebabkan gangguan kepada penduduk di kawasan Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Jalan Bendahara, Jalan Bentara, Jalan Laksamana, Jalan Raja Nong, Jalan Seri Sarawak, Jalan Sungai Jati, Jalan Temenggong, Taman Rakyat dan Taman Sentosa.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, bekalan di kawasan terlibat ditutup pada pukul 8 malam sebelum pihaknya memulakan kerja-kerja pembaikan.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pukul 4 pagi esok dan bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.
Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. –UTUSAN ONLINE