Paip IWK bocor punca kejadian lubang benam – Fahmi Zainol

Paip IWK bocor punca kejadian lubang benam – Fahmi Zainol

GEORGE TOWN : Kebocoran paip milik syarikat Indah Water Konsortium (IWK) dipercayai menjadi punca berlakunya lubang benam di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol berkata, siasatan awal mendapati, insiden itu berpunca daripada kebocoran paip di bawah tanah hingga menyebabkan pasir terhakis.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri berkata, hakisan itu seterusnya membentuk satu lubang benam di Lebuh Bukit Kecil 3 di sini.

“Saya difahamkan, pihak IWK akan menjalankan gerak kerja penyelenggaraan bagi menyelesaikan masalah lubang benam ini dan kerja-kerja tersebut dianggarkan memakan masa selama seminggu,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian lubang benam yang mengakibatkan tayar sebuah bas sekolah ‘tenggelam’ di kawasan tersebut.

Paip IWK bocor punca kejadian lubang benam – Fahmi Zainol
SALAH satu daripada gambar tular mengenai tayar sebuah bas sekolah yang tersangkut dalam kejadian lubang benam di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak, Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu, mereka dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif kerana jalan ke Taman Sri Nibong melalui Krystal Point akan ditutup, termasuklah laluan dari Taman Sri Nibong ke Krystal Point buat sementara waktu.-UTUSAN

Scroll to Top