am@hmetro.com.my
Kuantan: Menyedari masalah hakisan semakin ketara di pesisir pantai negeri ini, kerajaan Pahang menyusun langkah lebih serius dalam menangani isu itu termasuk pelan pencegahan di beberapa lokasi berisiko.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim berkata, masalah hakisan tidak hanya melanda Pantai Sepat, sebaliknya di beberapa pantai lain di daerah ini, Pekan dan Rompin.
Katanya, antara kawasan yang teruk terjejas akibat hakisan ialah sekitar Beserah dan Cherating serta Sungai Api-Api di sepanjang jajaran Jalan Pekan-Nenasi, Pekan.
“Masalah hakisan turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kebimbangan berhubung isu yang kritikal di Pahang.
“Justeru sebagai langkah awal, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksana tindakan yang bersesuaian,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, beliau mengakui kos membangunkan projek atasi hakisan bernilai tinggi dan mengambil masa yang lama.
“Di Pahang, kita ada pesisir pantai yang panjang iaitu dianggarkan 378.4 kilometer dari Chendor, di sini hingga Teluk Gading, Rompin yang mana beberapa lokasi memerlukan perhatian.
“Setakat ini, kita hanya menunggu kelulusan permohonan peruntukan daripada Pusat untuk memastikan hakisan pantai dapat dikawal daripada lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk berhubung isu hakisan di Pantai Sepat yang berisiko menjejaskan kawasan riadah itu.
Penduduk juga menyuarakan harapan agar masalah hakisan di pantai itu diatasi segera bagi mengekalkan keindahan kawasan dan menjamin keselamatan mereka apabila berkunjung ke situ.
© New Straits Times Press (M) Bhd