firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Ismail mengejutkan arena bola sepak tempatan apabila mendedahkan dua kelab yang penuh dengan sejarah iaitu Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC tidak akan beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pendedahan itu dibuat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sesi soal jawab bersama penyokong JDT di Pusat Latihan JDT, di Padang Seri Gelam, malam tadi.
“Saya sedih berkenaan satu benda…satu saya rasa InsyaAllah bersyukur kalau menang (kalau menang dalam final Piala Malaysia menentang Sri Pahang) yang ke-30. Tetapi saya juga terpaksa cakap selamat tinggal kepada sahabat saya, bapak saudara saya Raja Muda, pasukan legenda yang banyak sejarah macam Pahang kerana tahun depan Pahang tak ada lagi bubar terus.
“Pasal ada masalah dalam Pahang, jadi benda ini berita sedih. Macam Kedah adalah pasukan yang bersejarah pun tak ada juga tahun depan. Salah siapa? Ini semua kerana isu kelemahan pengurusan dalaman.
“Apabila ada RM10 juta tapi belanja RM15 juta, jadi saya sedih mereka tak ada lagi. Saya harap mereka akan mencari jalan untuk selesaikan masalah tersebut, atau ada hutang ke apa ke.
“Tapi inilah masalah terbesar orang di Malaysia apabila meletakkan orang yang tidak ada minat dan pengetahuan dalam bola sepak,” katanya.
Kata Tunku Mahkota Ismail lagi, beliau memuji beberapa pasukan seperti Selangor FC, Teregganu FC, Kuching City FC, PDRM FC dan Penang FC yang semakin menunjukkan perkembangan positif.
“Malaysia perlukan lebih lagi pasukan macam JDT, Selangor dan Terengganu, saya cakap terus terang.
“Macam contoh saya bagi kredit kepada Kuching City. Pasukan kecil, bajet tak besar, gaji tak sangkut. Saya dengar, mereka kata nak buat pusat latihan, jadi saya bagi kredit kepada Kuching.
“Juga kredit kepada pasukan seperti PDRM FC di mana mereka gunakan sebaiknya apa yang mereka ada. Penang pun sama saya bagi kredit kepada Penang.
“Tapi yang lain-lain bukan ada di situ disebabkan pengetahuan dalam bola sepak atau pun minat terhadap bola sepak, tapi disebabkan hal-hal lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd