aida_adilah@hmetro.com.my
Gadis manis berusia 17 tahun bernama Sawda Hasbullah ini disebut-sebut sebagai permata baharu dalam dunia basikal selepas cemerlang di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) Nilai, baru-baru ini.
Atlet kelahiran Melaka dan kini menetap di Nilai mencipta sensasi apabila menghadiahkan dua pingat emas di ACC termasuk rekod dunia remaja.
Dengan imej bertudung, Sawda mahu terus istiqomah dalam menjaga penampilan ketika dia berusaha untuk menggapai impian bergelar atlet berjaya dalam dunia basikal seterusnya mengikuti jejak langkah abangnya, Umar Hasbullah yang pernah meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 dalam acara pecut berpasukan.
Ikuti kisah Sawda, anak ketiga daripada lima adik-beradik yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian berkongsi pengalamannya di bulan Ramadan.
• Pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?
• Saya pernah terjatuh ketika bulan Ramadan pada 2019 kalau tak salah saya, masa itu saya nak pergi latihan sebelum berbuka di rumah jurulatih, saya terjatuh dan rahang saya retak.
• Pada usia berapa mula berpuasa penuh?
• Kalau diingatkan balik, saya mula berpuasa penuh pada usia 10 tahun.
• Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?
• Saya suka berbuka dengan air manis. Tak kisahlah air apapun tapi saya suka air teh ais. Bila dapat berbuka dengan air manis saya rasa puas.
• Bazar Ramadan kegemaran dan mengapa?
• Selalunya ayah saya yang ke bazar. Saya jarang ke bazar tapi kalau saya ke bazar saya akan cari kuih-muih. Kuih kegemaran saya adalah donat.
• Memori bersahur ketika kanak-kanak?
• Masa saya kanak-kanak, saya suka bersahur dengan nasi goreng dan makan depan televisyen sambil menonton drama Melayu. Nasi goreng mak saya itu, hanya nasi goreng biasa saja, kosong tak ada letak apa-apa, tapi rasa sedap sangat, mungkin kerana ia air tangan seorang ibu.
• Apakah cabaran terbesar ketika berpuasa?
• Cabaran terbesar bagi seorang atlet pastinya terpaksa berlatih. Macam saya, pagi kena pergi sekolah dan sebelah petang kena berlatih.
• Makanan yang cuba dielakkan sepanjang Ramadan?
• Sebenarnya, kena elakkan makan manis saja. Saya cuba kurangkan di bulan Ramadan kali ini.
• Bagaimana Ramadan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?
• Ramadan kali ini saya akan berlatih dengan jurulatih baharu iaitu Herman Terryn. Tak pasti corak latihannya macam mana dan pasti ia akan mencabar sedikit berbanding sebelum ini. Tapi saya teruja untuk berlatih di bawahnya.
• Apakah perubahan positif yang diharap dapat teruskan selepas Ramadan?
• Saya harap saya dapat terus istiqomah biarpun selepas Ramadan.
• Apakah kenangan paling berharga ketika solat tarawih?
• Saya suka waktu 10 malam terakhir, solat di rumah dan mak imamkan sebabnya ayah akan ke surau dan saya serta adik-beradik akan ke surau juga jika rajin.
• Berapa rakaat biasanya anda lakukan ketika solat tarawih?
• Kebiasaannya saya akan lakukan lapan rakaat berserta solat witir.
• Apa petua kesihatan diamalkan sepanjang Ramadan?
• Petua kesihatan saya waktu Ramadan ini adalah minum air secukupnya dan ambil kurma ketika sahur.
• Lebih suka berbuka puasa di rumah, gerai atau secara berbufet?
• Saya lebih suka berbuka di rumah sebab lebih selesa untuk makan dan tak kejar waktu untuk solat.
• Sajian paling disukai ketika bersahur?
• Saya suka nasi goreng mak saya.
• Sudah buat persiapan raya atau belum?
• Tahun ini saya masih belum buat persiapan lagi. Tapi tema baju raya tahun ini mungkin warna maroon (merah manggis).
© New Straits Times Press (M) Bhd