SHAH ALAM: Seorang tukang cuci warga Indonesia terpaksa berpuasa di sebalik tirai besi selepas mengaku bersalah di Mahkamah Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memiliki dokumen pengenalan diri sementara milik orang lain semalam.
Majistret Ameera Mastura Khamis menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap tertuduh, Siti Fatuyah, 60.
Wanita warga emas dari Jawa Tengah itu dipenjarakan selama tiga bulan selepas gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Kajang.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Fatuyah didakwa tanpa kuasa atau sebab munasabah memiliki dokumen pengenalan sementara bertaraf warga negara atas nama seorang wanita yang bukan miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor di sini, pukul 1.30 tengah hari semalam.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20 000 atau kedua-duanya sekali mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Berdasarkan fakta kes, dua cap ibu jari tertuduh menerusi kad pengenalan yang digunakannya didapati tiada dalam rekod JPN. Selain itu, wujud perbezaan irasan wajah ketara tertuduh dengan pemilik sebenar kad berkenaan.
Siti Fatuyah yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukumannya diringankan.
Namun, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd. Saudi Yusof memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kepada tertuduh dengan turut mengambil kira kekerapan kes tersebut.
“Tertuduh menggunakan dokumen kad pengenalan sementara yang bukan miliknya selama sebulan. Ia digunakan wanita itu bagi tujuan bekerja sebagai tukang cuci,” ujarnya. – UTUSAN