mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dan kesalahan lalu lintas mengundang padah apabila ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Batu 14 Puchong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, operasi bermula 12 tengah malam itu membabitkan dua pegawai dan 19 anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan Plaza Tol Batu 14 Puchong kerana sering menjadi tumpuan penunggang motosikal melakukan aksi merbahaya seperti memandu laju, melakukan aksi zig-zag, menundukkan badan serta pelbagai aksi lain yang boleh membahayakan nyawa penunggang dan orang awam.
“Susulan itu, polis menahan 107 motosikal dan memeriksa seramai 150 orang penunggang serta pembonceng motosikal.
“Sebanyak 19 motosikal disita atas pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan utama iaitu memandu secara merbahaya dan laju sambil menundukkan badan (aksi superman),” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Beliau berkata, BSPT IPD Subang Jaya menasihati ibu bapa supaya memantau setiap pergerakan anak-anak pada waktu malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd