Kuantan: Seorang wanita didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas pertuduhan memiliki MyKad individu lain.
Tertuduh, Henny Mohamed Najib, 42, kelihatan menangis ketika membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Dia didakwa memiliki kad pengenalan milik individu lain semasa pemeriksaan dilakukan pihak Jabatan Imigresen Pahang di premis A-2018 tingkat atas Lorong Seri Kuantan, Perkampungan Seri Kuantan di sini, jam 12.45 tengah malam, 7 Februari lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang Burhanuddin Hamzah dan Penolong Pegawai Pendakwa Fahkrol Anuar Sani manakala tertuduh diwakili peguam daripada Pusat Bantuan Guaman (LAC) Mohamed Azahari Matiasin.
Pada prosiding itu, Fahkrol Anuar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana melibatkan kesalahan berkaitan kad pengenalan yang membolehkan individu menikmati pelbagai keistimewaan selain sebagai pengajaran kepada wanita terbabit dan masyarakat.
Terdahulu, Mohamed Azahari memohon hukuman denda kepada tertuduh yang mempunyai dua orang anak dan ditanggung suami bekerja sebagai buruh binaan.
Mengikut fakta kes, JPN Pahang telah menahan wanita itu pada 7 Februari lalu dan semakan mendapati cap ibu jarinya tidak sepadan dengan kad pengenalan diserahkan selain imej pemilik dokumen pengenalan diri itu berbeza dengan wajah tertuduh.
© New Straits Times Press (M) Bhd