Padah bermusuh dengan Ten Hag, Rashford bakal dijual

London: Manchester United akan mendengar tawaran untuk Marcus Rashford selepas hubungannya dengan Erik ten Hag semakin merosot.

Masa depan pengurus itu berkait rapat dengan penyerang Red Devils berusia 26 tahun itu.

Sekarang Ten Hag kekal dan kelab akan cuba menjana keuntungan daripada graduan akademi yang menjadi salah satu bintang terkemuka United.

Mereka mahu mendapatkan £80 juta (RM480.6 juta) untuk Rashford tetapi mungkin perlu menerima tawaran sekitar £60 juta (RM360.5 juta) berikutan penurunan prestasinya musim lalu.

Rashford dan Ten Hag hampir tidak bercakap menjelang akhir musim lalu selepas dia menentang pengurus itu dengan berpesta hingga larut malam di Belfast ketika dia sepatutnya berlatih di Carrington pada hari berkenaan.

Ten Hag sudah memperingatkannya mengenai kelakuan di luar padang selepas dia berpesta di pusat bandar sebaik Man United kalah kepada Manchester City di halaman sendiri pada 29 Oktober lalu.

Pengurus itu mengatakan bahawa kelakuan Rashford itu sukar untuk diterima tetapi beliau semakin bengang apabila hanya beberapa bulan kemudian Rashford keluar hingga larut malam pada 26 Januari lalu menjelang perlawanan Piala FA di Newport.

Rashford memberi alasan tidak sihat pada hari itu dan tidak turun beraksi. Dia dipecat dari skuad kerana Ten Hag mengetahui sepenuhnya apa yang sudah berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd