Ounahi sasaran kelab gergasi Eropah

Ounahi sasaran kelab gergasi Eropah

Ounahi (kiri) menarik minat kelab gergasi Eropah.

PEMAIN tengah Maghribi, Azzedine Ounahi menjadi sasaran kelab gergasi Eropah selepas tampil memukau dalam kempen Piala Dunia Qatar 2022.

Ounahi yang bermain bersama kelab Ligue 1, Angers menjadi antara pemain penting dalam membawa The Atlas Lions sehingga mara ke peringkat separuh akhir di Qatar.

Presiden Angers, Said Chabane mengakui menerima banyak tawaran daripada beberapa kelab Eropah yang berminat mendapatkan khidmat pemain itu apabila jendela perpindahan dibuka Januari nanti.

“Kami menerima banyak tawaran daripada kelab besar dan sederhana. Kelab itu daripada negara seperti Itali, Sepanyol, England dan Perancis.

“Kami akan melihat tawaran sesuai pada Januari, namun kami juga tidak kisah jika Ounahi mahu kekal sehingga akhir musim,” katanya.

Beberapa kelab besar seperti Barcelona, Inter Milan, Juventus, Lyon dan Paris Saint-Germain telah menghantar wakil untuk menilai Ounahi sejak setahun lalu.

Kelab dari England, Leicester City, Newcastle united, Southampton, West Ham dan Wolves juga dilaporkan berminat dengan pemain tengah itu.

Menurutnya, kelab-kelab tersebut sudah memerhati Ounahi sebelum kempen Piala Dunia lagi dan minat mereka terhadap pemain itu makin mendalam selepas aksi cemerlang di Qatar.

Angers ketika ini berada di kedudukan tercorot Ligue 1 dengan hanya lapan mata daripada 15 perlawanan dan memahami kesukaran untuk mengekalkan khidmat Ounahi di kelab tersebut.

Scroll to Top