Orang ramai dijemput meriahkan ‘unboxing’ Jalur Gemilang di Menara Kuala Lumpur

Orang ramai dijemput meriahkan ‘unboxing’ Jalur Gemilang di Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan projek pengibaran Jalur Gemilang Gergasi pada tahun lepas, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. sekali lagi akan meneruskan tradisi untuk mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi pada tahun ini.

Untuk itu, orang ramai dijemput untuk turut serta bagi menyaksikan acara
‘unboxing’ yang akan diadakan pada 26 Ogos 2024, jam 10.30 pagi di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur.

“Sebagai menara ikonik negara, inisiatif projek ini diadakan sekali lagi oleh Menara Kuala
Lumpur untuk menyokong usaha kerajaan bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67, selain memupuk semangat patriotisme dalam diri setiap rakyat Malaysia.

“Oleh itu, saya ingin menjemput orang ramai bersama-sama untuk merebut peluang keemasan ini dengan memeriahkan acara ‘unboxing’ pada 26 Ogos ini, dengan harapan dapat menyatukan masyarakat Malaysia dari pelbagai agama, bangsa dan latar belakang”, kata ketua pegawai eksekutifnya, Nazli Saad.

Jalur Gemilang Gergasi tersebut akan dibekalkan oleh syarikat tempatan iaitu Star Light Flag Trading Sdn. Bhd., manakala proses pemasangan di antena Menara Kuala Lumpur akan dilakukan oleh kakitangan teknikal yang berpengalaman dari syarikat Rendang Engineering Sdn. Bhd.

Sempena dengan bulan Kemerdekaan pada tahun ini, Menara Kuala Lumpur mengadakan promosi sebanyak 60% bagi tiket masuk ke tarikan khas buat rakyat Malaysia dan pelbagai aktiviti diadakan sehingga Hari Malaysia.

Antaranya Pencahayaan Menara dengan warna bendera 14 negeri di Malaysia, Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan, Ruangan Permainan Tradisional, Persembahan Muzik dan Kebudayaan serta pelbagai lagi acara yang boleh disertai oleh para pengunjung tempatan dan antarabangsa. – MalaysiaGazette