Orang baik pun ada tak suka, inikan saya yang banyak khilaf – Aliff Aziz – Utusan Digital

Orang baik pun ada tak suka, inikan saya yang banyak khilaf – Aliff Aziz – Utusan Digital

KUALA LUMPUR : Sering terpalit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini, penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 30, menganggap dirinya tiada daya untuk mengawal mulut atau kecaman orang walau semua itu sudah menjadi satu episod hitam yang tidak ingin dikenang.

Menurut Aliff, dia tidak menolak kemungkinan kisah lamanya akan kembali menjadi bualan orang terutama apabila program realiti Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8) memulakan siarannya dua minggu lagi.

“Bagi saya, kita baik atau jahat macam mana pun, atau cuma menjadi diri sendiri pun sentiasa ada orang yang akan bercakap atau tak puas hati dengan kita. Kalau nak fokus pada perkara itu, ia akan jadi mustahil.

“Macam Ummi saya selalu cakap, memuaskan hati semua orang adalah satu perkara yang mustahil. Sebab, orang yang baik pun ada yang tak suka, inikan pula saya yang banyak khilaf dan kelemahan ini. Lagilah orang tak suka.

“Tapi, saya cuma nak fokus pada perkara yang positif sahaja. Kalau fikir yang negatif saja, nanti malam-malam nak tidur pun akan terfikir-fikir. Saya sedang belajar untuk tidak memikirkan perkara yang tak perlu,”katanya.

Aliff berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pengumuman barisan peserta program GV8 di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.

Selain itu, Aliff juga mengaku tidak mahu membiarkan dirinya diselubungi sifat dendam walau tahu orang akan tetap mengaitkan hal dan aib lama hidupnya dalam keadaan dia sudah banyak berubah kini.

“Orang akan terus bercakap. Tapi saya tak ada ada dendam apa-apa. Saya maafkan mereka dan dalam masa yang sama, minta maaf kepada semua yang mungkin pernah berasa tidak senang dengan sikap atau kelakuan saya dulu.

“Saya tak nak dendam. Saya nak hidup berlapang dada dan nak fokus pada apa yang saya nak buat saja,”katanya.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, ini juga begitu menghargai sokongan dan doa-doa orang sekeliling yang mahu melihat dirinya terus berubah kepada kebaikan dan berjaya dalam hidup dan kerjaya.

Kata Aliff, dia juga bersyukur kerana lingkungan rakan-rakan jemaah Tablighnya juga mendoakan kejayaannya sempena pertandingan GV8 yang akan berlangsung pada 21 November ini.

“Mereka semua berikan kata-kata perangsang dan nasihat sebagai kawan. Tentulah sebagai kawan, mereka mahukan yang terbaik untuk saya di samping berpesan agar sentiasa menjaga diri. Alhamdulillah atas doa-doa semua.

“Saya amat hargai doa-doa orang. Bukan klise, tapi seandainya semua orang dapat merasai nikmat besar doa itu.. Sukar untuk diterjemahkan. Kita jangan rendahkan doa kerana ternyata memang benar, doa adalah senjata orang Mukmin,”katanya.

Tidak cuma itu, Aliff juga menegaskan bahawa dirinya masih mempunyai banyak kelemahan yang harus diperbaiki dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.

“Bukanlah nak tunjuk baik sebab kebelakangan ini sudah bersama jemaah, tidak. Saya cuma nak fokus pada diri sahaja. Tak nak cari salah orang, tak nak tengok salah orang.Kita sendiri pun banyak lagi kelemahan yang harus diperbaiki.

“Walau dah bersama jemaah, itu belum tentu lagi kita ini baik. Jauh lagi perjalanan ini. 30 tahun hidup, terlalu banyak perkara yang saya harap tak pernah saya tergamak buat.

“Kini saya nak fokus pada diri, keluarga, anak-anak dan rakan-rakan terdekat,”katanya.

Selaoin Aliff, turut berentap merebut gelaran Juara GV8 ialah Azzan Scan, Bandi Amuk, Ani Mayuni, Aweera, Shidee, Kumpulan Nico, Adibah Noor, Nikki, Sukki, Upiak Isil dan Datuk Fazley Yaakob.

Scroll to Top