Operasi potong pokok ru Pantai Puteri bermula

Operasi potong pokok ru Pantai Puteri bermula

MELAKA: Semua pokok ru di Pantai Puteri di sini yang berusia lebih 23 tahun dan mencapai ketinggian maksimum akan ditebang atau dicantas secara berperingkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, sebagai permulaan sebanyak 15 pokok ru yang condong ke arah laut dan jalan raya telah dipotong oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), sejak malam tadi.

Menurutnya, setakat ini tujuh pokok telah selesai dipotong manakala selebihnya akan diteruskan sehingga selesai.

TUMINAH KADI

Beliau berkata, tindakan segera dilakukan susulan kematian seorang bayi berusia setahun lima bulan ekoran pokok ru yang tumbang menimpanya sewaktu berkelah di situ, kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Kejadian yang menimpa kedua-dua mangsa ini adalah insiden pertama melibatkan kehilangan nyawa, berlaku akibat pokok ru di pantai ini tumbang. Sebelum ini hampir setiap minggu pokok tumbang, tetapi tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa kepada pengunjung di pantai ini.

“Sebenarnya sebahagian besar pokok ru di Pantai Puteri sudah melebihi usia 23 tahun dan mencapai ketinggian yang maksimum, sepatutnya sudah ditebang serta ditanam baru,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong di Kampung Gelam di sini, hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 10,000 pokok ru ditanam bagi mengindahkan kawasan Pantai Puteri sejak 2002, namun dianggarkan kira-kira 300 batang sahaja yang masih hidup sehingga sekarang.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, bayi lelaki berusia setahun lima bulan, Muhammad Zafran Ilman Mohd. Syazwan yang dihempap pokok ru di Pantai Puteri petang semalam, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Tambah Tuminah, hanya beberapa kawasan berisiko di pantai itu ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu bagi aktiviti perkelahan dan perkhemahan.

“Pengunjung masih boleh menjalankan aktiviti riadah seperti biasa, melainkan lokasi yang telah ditutup. Untuk jangka panjang, penambakan kawasan pantai dan pembinaan tembok pemecah ombak seperti di Marang, Terengganu wajar dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya hakisan pantai yang menjadi punca pokok ru di pantai ini sering tumbang,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top