Operasi padam 176 hektar kebakaran hutan, ladang kelapa di Gebeng tamat sepenuhnya

Operasi padam 176 hektar kebakaran hutan, ladang kelapa di Gebeng tamat sepenuhnya

KUANTAN: Operasi pemadaman 176 hektar kebakaran hutan dan ladang kelapa di kawasan Gebeng di sini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang ditamatkan sepenuhnya hari ini.

Ia ditamatkan setelah kawasan yang terjejas akibat kebakaran berjaya dipadamkan.

JBPM Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, pemantauan rapi akan terus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng selama tiga hari bagi memastikan tiada kesan bara yang boleh mencetuskan kebakaran semulan di kawasan terbabit.

“Pihak jabatan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak media atas liputan menyeluruh sepanjang operasi ini.

“Laporan disampaikan bukan sahaja membantu menyebarkan maklumat tepat kepada masyarakat, malah turut meredakan kebimbangan berkenaan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang pernah mencecah paras meruncing.

“Selain itu, liputan ini juga memberi gambaran positif kepada masyarakat tentang kesiapsiagaan kerajaan dalam menangani situasi ini, bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, penghargaan turut diberikan kepada agensi-agensi sahabat iaitu Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), GEMA, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta lain-lain pihak yang telah bersama-sama jabatan ini dalam melaksanakan operasi pemadaman.

“Kerjasama baik yang terjalin antara agensi di negeri ini mencerminkan tahap kecaknaan kerajaan terhadap kelestarian hidup rakyat.

“Semoga Malaysia dan negeri Pahang khususnya terhindar dari sebarang bencana dan insiden yang tidak diingini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Scroll to Top