hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Operasi strategik bersama agensi penguat kuasa lain bagi membendung rasuah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus dilaksanakan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya secara konsisten tidak berkompromi dengan sebarang bentuk atau isu berkaitan rasuah, pelanggaran integriti, salah laku melibatkan anggota serta pegawainya.
Menurutnya, tindakan banteras sindiket seludup rokok elektronik menerusi Op Airways bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah hasil kolaborasi strategik bersama Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM.
“Ini adalah semak dan imbang ke atas proses import dan eksport.
“Kita akan teruskan operasi-operasi strategik dalam pelbagai aspek bagi membersihkan jabatan ini berhubung isu rasuah. Ini tekad saya bagi memastikan JKDM bebas daripada rasuah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Anis Rizana berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama rapat dengan agensi lain bukan sahaja SPRM, tapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan lain-lain.
“Koloborasi bersama agensi lain ini akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan JKDM bersih dari jenayah rasuah,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan, SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik (vape) dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.
Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo KLIA petang semalam.
Hasil pemeriksaan menemukan 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM 1.9 juta yang tidak diikrar dalam lori berkenaan.
Serentak itu, serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat-syarikat berkenaan.
Susulan itu enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd